Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemukiman AEM bakal lonjak ‘permata tersembunyi’ Johor

    PENGERANG, 20 FEB – Penganjuran Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bermula 22 hingga 28 Februari ini mampu melonjakkan nama Desaru yang sejak sekian lama menjadi ‘permata tersembunyi’ di Johor.

    Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang Mohammad Nazrul Abdul Rahim berkata penganjuran berkenaan sekali gus membantu mempromosikan Desaru sebagai lokasi pelancongan setanding lokasi terkenal tanah air seperti Langkawi, Kedah dan Pulau Tioman, Pahang.

    “Desaru terletak di bawah Pengerang. Bila dengar Pengerang, terus ingat sektor industri minyak dan gas berbanding pelancongan. Sedangkan di sini banyak tempat menarik yang kurang diketahui pengunjung.

    “Oleh itu, kita perlukan acara seperti mesyuarat peringkat ASEAN ini sebab kita mahu jenamakan Desaru sebagai tempat pelancongan terbaik di Johor dan amnya di Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

    Beliau berkata penganjuran pemukiman AEM di Desaru juga secara tidak langsung mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026 yang menyasarkan kedatangan 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

    Mohammad Nazrul berkata penganjuran itu juga dijangka membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat dan kawasan sekitarnya termasuk 20 hingga 30 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    Bersempena acara itu juga reruai pameran dijadual dibuka yang akan memberi peluang kepada PKS tempatan menyertainya bagi mempromosi produk diusahakan. – Bernama

    Mohammad Nazrul Abdul Rahim bercakap berkenaan penganjuran Pemukiman AEM yang akan berlangsung di Desaru ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Majlis Perbandaran Pengerang baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda