Pemulangan wang haji dilaksana berperingkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Berikutan dengan pemakluman mengenai penangguhan penghantaran jemaah haji Negara Brunei Darussalam tahun 1441H/2020M ke Tanah Suci, pihak pengurusan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) mula mengambil beberapa langkah dan akan melaksanakan tindakan-tindakan dengan mengambil kira situasi pandemik penularan wabak COVID-19. Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Jabatan Haji dan Umrah DHSB, Pengiran Haji Ibrahim bin Haji Bakar (gambar bawah) semasa sidang media mengenai penangguhan penghantaran jemaah haji 1441H/2020M yang berlangsung di Pejabat Darussalam Holdings, Airport Mall, Berakas, hari ini.

Terdahulu, beliau menyatakan bahawa berikutan pemakluman penangguhan ibadat haji yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada 10 Jun lalu, DHSB memaklumkan bahawa daripada jumlah 1,000 orang yang terpilih untuk menunaikan ibadat haji tahun ini, seramai 802 orang telah mendaftar untuk mengikuti pakej DHSB dalam tiga pakej yang ditawarkan iaitu Pakej Delima, Safira dan Zamrud.

Pengiran Haji Ibrahim menerangkan bahawa pembayaran semula wang pembayaran pakej haji akan dilakukan secara pemindahan wang ke akaun jemaah masing-masing sama ada di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) atau Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) di mana proses pemulangan wang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan dijangkakan akan mengambil masa selama lebih kurang dua hingga tiga minggu tertakluk kepada proses di Syarikat DHSB dan proses di pihak Perbadanan TAIB dan BIBD.

Beliau berkata bahawa pada masa yang sama, pasport dan dokumen yang berkaitan akan diserahkan semula kepada jemaah haji, jika jemaah berhasrat untuk meneruskan haji mereka pada tahun hadapan atau menangguhkan atas sebab-sebab yang tertentu bolehlah memaklumkan semula kepada pihak Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) untuk tindakan seterusnya.

“Begitu juga khusus bagi yang menerima tambang-tambang kerajaan seperti tambang perkhidmatan 12 tahun, tambang pencen, tambang balu, tambang BSP, tambang RB dan yang berkaitan dengannya, untuk merujuk semula ke jabatan masing-masing dan ke Jabatan Urusan Haji, jika berhasrat untuk meneruskan haji mereka pada tahun hadapan atau menangguhkan atas sebab-sebab yang tertentu,” tambah beliau.

Semasa menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh pihak media, Pengiran Haji Ibrahim menjelaskan bagi jemaah haji yang tersenarai untuk menunaikan haji pada tahun ini dan jika mereka diberikan peluang bagi menunaikan haji pada tahun hadapan, merujuk kepada Jabatan Urusan Haji, KHEU, mana-mana jemaah yang telah berdaftar dan tersenarai berangkat pada tahun ini untuk menunaikan haji pada tahun ini akan berangkat pada tahun hadapan bagi musim haji 1442H/2021.

“Ianya tertakluk kepada persetujuan jemaah untuk meneruskan atau menangguhkan. Jemaah bolehlah mengajukan pertanyaan lanjut kepada pihak Jabatan Urusan Haji, KHEU,” jelasnya lanjut.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pembayaran semula wang pembayaran pakej, beliau menerangkan bahawa proses pembayaran akan dibuat secara berperingkat dengan pemulangan semula wang pembayaran dalam akaun tekad haji TAIB atau BIBD tanpa perlu datang ke pejabat DHSB dengan mengambil kira sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan dalam situasi pandemik COVID-19.

Manakala itu, berhubung dengan deposit yang telah dibayar di Arab Saudi, seperti deposit hotel untuk perumahan haji, pihak DHSB telah pun berunding dengan pihak hotel di sana untuk menggantikan deposit itu sebagai pembayaran deposit umrah yang akan datang.

Oleh itu, pembayaran haji yang akan dipulangkan kepada jemaah tidak akan dikenakan sebarang caj, tambahnya, walau bagaimanapun berikutan dengan pengumuman baru-baru ini oleh kerajaan Arab Saudi mengenai kenaikan cukai kerajaan (VAT) sebanyak 15 peratus yang akan bermula pada Julai 2020, pihak pengurusan DHSB menjangkakan kenaikan harga pakej umrah dan haji pada masa akan datang.

Menerangkan jika bakal jemaah haji masih ingin menyimpan wang pembayaran haji tahun ini supaya tidak perlu dibayar pada musim haji tahun hadapan, beliau menerangkan bahawa pihak DHSB tidak akan menyimpan wang pembayaran haji tahun ini dan ia akan dipulangkan sepenuhnya, malahan ia akan lebih menguntungkan jika wang berkenaan disimpan balik ke akaun jemaah masing-masing.

“Dalam hal ini, pihak pengurusan akan mengambil kira dan memberikan keutamaan kepada jemaah yang tersenarai pada tahun ini untuk musim haji tahun hadapan,” ujarnya.