Pemulihan harga minyak manfaatkan bank Islam

KUALA LUMPUR, 21 SEPT – Bank-bank Islam di Malaysia dijangka mendapat keuntungan daripada kenaikan harga minyak ketika ekonomi global kembali pulih, kata Moody’s Investors Service.

Dalam laporannya, agensi penarafan itu berkata negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), sebagai pengeluar hidrokarbon utama dan Malaysia dengan sebahagian besar pendapatan kerajaan diperoleh daripada pengeluaran minyak, akan mendapat manfaatnya.

Moody’s yang mengunjurkan ekonomi di rantau GCC, Asia Selatan dan Asia Tenggara akan kembali berkembang tahun ini, menyatakan ramalan harga minyak jangka sederhana pada masa ini mengandaikan minyak mentah Brent akan berada pada purata AS$45 hingga AS$65 setong, meningkat daripada AS$42 setong tahun lepas.

“Dengan tindakan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengubah jumlah pengeluaran awal sebelumnya, pendapatan minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan kemampuan kerajaan untuk merangsang ekonomi bukan berasaskan minyak mereka. Sektor bukan minyak menguasai sebahagian besar pendedahan pinjaman bank,” katanya.

Bagaimanapun, Moody’s berkata di kebanyakan pasaran perbankan Islam utama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak mungkin kembali ke tahap pra COVID-19 hingga 2022. – Bernama