AMERIKA SYARIKAT – Ketika kebakaran hutan merebak ke hutan sequoia di California, ia memusnahkan pokok gergasi yang ada di sana sejak ribuan tahun lalu dan mungkin telah mengubah sifat hutan itu selamanya.
Kini, Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat (NPS) ingin membantu alam semula jadi dengan menanam anak pokok yang dihasilkan di makmal yang dikatakan akan mengembalikan kelestarian kawasan hutan yang penting.
“Matlamatnya adalah untuk memulihkan pokok sequoia yang mencukupi dalam beberapa tahun pertama selepas kebakaran supaya kita mempunyai pokok-pokok 60, 100, 400 tahun dari sekarang,” kata Christy Brigham, Ketua Pengurusan Sumber dan Sains di Taman Negara Sequoia dan Kings Canyon.
Pokok sequoia gergasi benar-benar mengagumkan, sangat besar hingga kelihatan seperti dari zaman dinosaur.
Pokok yang paling besar mempunyai ketinggian lebih daripada 300 kaki dan mempunyai diameter hampir 30 kaki, tunas tertua lebih dari 3,200 tahun yang lalu.
Setelah kebakaran merebak, kini pokok sequoia hanya dapat ditemui di sebahagian kecil kawasan di California.
“Apabila awda melihat sequoia, ia kelihatan sangat besar, aneh dan tua. Awda mengenalinya sebagai kehidupan yang sudah hidup lama di alam semula jadi,” kata Brigham kepada AFP di tengah-tengah Redwood Mountain Grove California.
“Itu membantu kami memikirkan jangka masa yang panjang apabila memikirkan tindakan kami, perkara seperti perubahan iklim dan pengurusan hutan.”
Dua isu itulah yang telah menyatukan sequoia ke tempatnya sekarang.
Dengan dasar pencegah kebakaran sejak puluhan tahun telah menyebabkan banyak kebun sequoia dipenuhi dengan pokok dan pokok renek yang lebih kecil yang tidak terbakar.
Perubahan iklim yang disebabkan oleh perbuatan manusia dan kemarau yang semakin teruk, mengakibatkan tanaman yang sepatutnya hijau menjadi kering dan meningkatkan risiko kebakaran.
Sequoia gergasi memerlukan api untuk tumbuh semula. Api melapangkan dan menyuburkan tanah, menjadikannya bersedia untuk menerima biji-biji yang telah terbuka disebabkan haba panas.
Namun, menurut NPS, kebakaran pada 2020 dan 2021 adalah keterlaluan sehingga memusnahkan kira-kira 14,000 pokok tua – iaitu satu perlima daripada semua spesimen di planet ini.
“Apa yang kami lihat di dalam hutan itu ialah api baru sahaja marak di sana,” kata Brigham. “Ia mencecah ke dalam kanopi sequoia dan membakar pokok setinggi 200 kaki ini, yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.”
Kekecewaan para pengurus hutan yang berharap melihat pertumbuhan semula pokok yang subur setelah kebakaran, namun menemui pemandangan pohon-pohon mati dan hangus.
“Kami melihat sangat sedikit biji-biji benih dan hampir tiada di hutan sequoia setelah kebakaran, yang tidak pernah terjadi sebelumnya,” kata Brigham.
Keadaan itu sangat buruk di enam hutan di Kings Canyon dan Taman Negara Sequoia sehinggakan tidak ada pokok atau anak benih yang hidup untuk mengekalkan jumlahnya, kata NPS.
Mereka bimbang bahawa tanpa bantuan, kawasan yang lapang itu boleh diambil alih oleh pokok renek dan pokok pain atau oak yang tumbuh dengan pantas.
Rancangan untuk memulakan program penanaman ratusan biji benih yang telah ditanam di setiap ekar diharap akan mendapat persetujuan pada bulan Oktober.
Para petugas akan menunggang keldai atau menggunakan helikopter untuk menurunkan bekalan, dalam projek bernilai AS$4.4 juta yang menjangka beberapa tahun penanaman dan pemantauan selama beberapa puluhan tahun.
Andrew Bishop, ahli ekologi pemulihan di NPS, berkata dua atau tiga tahun selepas kebakaran terdapat beberapa tumbuhan benih sendiri, tetapi masih belum mencukupi.
“Kebimbangan kritikal adalah, kami berdiri di tengah-tengah blok kebakaran seluas 400 ekar yang teruk dan kami tidak mempunyai sequoia gergasi pembiakan yang hidup.
“Apabila berlaku kebakaran di masa akan datang, tiada peluang, tiada polisi insurans.
“Hutan-hutan itu tidak akan pulih tanpa pemulihan.”
TIDAK SEMUA ORANG BERSETUJU
“Hutan-hutan itu tidak perlu ditanam dan terdapat keburukan dan risiko yang serius untuk penanaman,” kata Chad Hanson, ahli ekologi penyelidikan dan pengarah Projek John Muir, sebuah kumpulan kempen alam sekitar.
Hanson dan pasukan penyelidiknya berkata, NPS telah mengurangkan bilangan anak benih semula jadi, dalam beberapa kes sebanyak beribu-ribu setiap ekar.
“Terdapat begitu banyak anak benih sequoia dalam tompok api intensiti tinggi ini sehingga sukar untuk berjalan,” katanya.
Menghantar pasukan pekerja dan keldai yang banyak berkemungkinan akan mengakibatkan kerosakan tumbuhan yang tumbuh semula jadi.
“Mereka mungkin akan memberi kerosakan lebih banyak daripada yang mereka rancang untuk tanam.”
Anak benih yang ditanam di tapak semaian juga membawa bersama mereka risiko patogen akar yang tidak pernah dilihat sebelum ini, kata Hanson, yang boleh menjejaskan kesihatan pembiakan pokok dewasa.
Jika program penanaman semula tidak berfungsi seperti yang dibayangkan oleh NPS, Hanson bimbang pihak berkuasa akan mencadangkan campur tangan yang lebih agresif.
“Itu mungkin termasuk apa yang mereka panggil penipisan yang dalam kebanyakan kes adalah eufemisme untuk beberapa jenis pembalakan dan menyembur racun herba dan kemudian menanam semula,” katanya.
Tiada satu pun yang sepatutnya berlaku di hutan belantara, di mana ekosistem yang paling lengkap dan berfungsi sepenuhnya ditemui.
“Apabila manusia campur tangan, kita jarang sangat membantu, walaupun kita berkata akan membantu,” katanya.
Tetapi bagi Brigham, di NPS, idea bahawa hutan belantara ini tidak disentuh adalah salah.
Penindasan kebakaran sejak beberapa dekad lalu meninggalkan bahan api yang tidak sepatutnya ada dan aktiviti manusia menjadikan planet ini lebih panas, mengubah ekosistem hutan.
“Kedua hal tersebut bersama-sama bermaksud bahawa kita telah mempengaruhi kawasan hutan ini,” ujarnya.
“Bukan alam yang melakukan perkara sendirinya tanpa campur tangan manusia dan jika kita tidak campur tangan, kita akan kehilangan sebahagian dari hutan ini.” – AFP