Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pemuliharaan biodiversiti, perubahan iklim perlukan usaha lebih praktikal

    KUALA LUMPUR – Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober lepas, dilihat oleh aktivis alam sekitar sebagai cerminan komitmen tinggi kerajaan Malaysia dalam melindungi alam sekitar, terutama bagi mendepani perubahan iklim serta memulihara biodiversiti.

    Belanjawan itu mengusulkan peruntukan berjumlah RM7.1 bilion untuk Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berbanding RM6.5 bilion dalam belanjawan sebelumnya, bagi melaksanakan beberapa inisiatif yang bersandarkan pendekatan strategik.

    Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu, turut mengumumkan beberapa peruntukan bagi menyokong agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), antaranya RM2 bilion untuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara. Turut dicadangkan ialah suntikan RM200 bilion oleh sektor swasta bagi memperkukuh ekonomi rendah karbon, Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), Bursa Carbon Exchange (BCX) dan cukai.

    Selain itu, sejumlah RM200 juta diperuntukkan bagi membiayai Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) yang dikhususkan bagi pemuliharaan biodiversiti, tambahan RM60 juta untuk menggandakan bilangan renjer hutan komuniti serta RM1 juta menerusi terbitan sukuk biodiversiti bagi penanaman semula hutan dan menangani hutan rosot untuk menjana kredit karbon.

    Dari segi mitigasi iklim, kerajaan memperuntukkan RM11.8 bilion untuk projek tebatan banjir, RM563 juta bagi memulihara lebih 200 kawasan cerun berisiko tinggi di seluruh negara serta RM300 juta sebagai persediaan menghadapi banjir yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara.

    Penyelidikan yang dijalankan oleh Agensi Tenaga Eropah mendapati sebuah EV mampu mengurangkan kadar pelepasan karbon 17 hingga 30 peratus sepanjang jangka hayat kenderaan itu berbanding yang dikuasakan oleh enjin berasaskan petrol dan diesel. – Gambar Freepik
    Inisiatif pemuliharaan yang digariskan dalam Belanjawan 2024 lebih berfokuskan pada biodiversiti daratan dan hanya sedikit penekanan diberikan kepada pembangunan lestari di pinggir laut, terutama dari segi mitigasi iklim terhadap ekosistem marin. – Gambar Freepik
    Komitmen kerajaan Malaysia terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui dan pendekarbonan yang diserlahkan menerusi insentif kewangan, harus dipuji kerana menunjukkan pendirian progresif. – Gambar Freepik

    Pakar dan penganalisis yang ditemu bual oleh Bernama bersetuju bahawa Belanjawan 2024 adalah permulaan yang baik ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih selain memperkukuhkan lagi pemuliharaan biodiversiti. Namun kata mereka, ada beberapa langkah yang perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif terbabit, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan.

    PENILAIAN

    Penganalisis dasar pembiayaan iklim, Muhammad Shaqib Shahrilnizam berkata sekalipun belanjawan itu mencerminkan langkah positif dalam mencapai matlamat pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar, kerajaan pada masa sama perlu merapatkan jurang yang dikenal pasti dan mengoptimumkan instrumen pembiayaan bagi menjamin kejayaan jangka panjang.

    “Penggemblengan Akta Tanggungjawab Fiskal (yang bakal diperkenalkan) membuka ruang bagi menyelaraskan dasar fiskal dengan objektif pembangunan mampan, namun ini perlu disertakan pemantauan, penilaian dan pelaksanaan strategi bersesuaian, seiring perubahan landskap pembiayaan iklim dan pemuliharaan,” katanya kepada Bernama.

    Mengulas tentang sukuk biodiversiti, beliau berkata walaupun dilihat sebagai instrumen yang bakal mengubah kaedah pengumpulan dana untuk inisiatif pemuliharaan, pelaksanaan cara itu memerlukan penilaian menyeluruh bagi memastikan kejayaan.

    “Penerbitan sukuk biodiversiti ini bagus dan merupakan langkah positif kerajaan. Bagaimanapun dari segi pelaksanaan, perlu ada pemantauan dan penilaian selanjutnya. Masanya juga tepat kerana kerajaan dalam proses membangunkan PADU sebagai sistem pengumpulan data berpusat, yang akan membantu kita memahami aset modal hijau dan pasaran biodiversiti,” jelas Muhammad Shaqib yang juga bekas wakil belia ke Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Ulas beliau, komitmen kerajaan terhadap sumber tenaga boleh baharu dan pendekarbonan yang diserlahkan menerusi insentif kewangan, harus dipuji kerana menunjukkan pendirian progresif. Namun katanya, hal ini perlu disertakan dengan dasar yang lebih kukuh bagi menggalakkan perniagaan serta memupuk pasaran pemuliharaan.

    Untuk tujuan itu, beliau berkata kerajaan perlu melangkaui kaedah tradisional dan memperkenalkan insentif kewangan seperti mekanisme penetapan harga pencemaran, contohnya penetapan harga karbon, untuk membentuk landskap perniagaan lestari yang sejajar dengan matlamat pemuliharaan.

    MOBILITI HIJAU

    Dalam Belanjawan 2024 ini juga kerajaan dilihat memperhebat usaha memperluas penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi mengurangkan pelepasan karbon, menerusi peruntukan berjumlah RM170 juta kepada Tenaga Nasional Berhad, Gentari dan Tesla Malaysia untuk membina stesen pengecas di lebuh raya utama selain kerajaan sendiri beralih kepada EV sebagai kenderaan rasmi.

    Penyelidikan yang dijalankan oleh Agensi Tenaga Eropah mendapati sebuah EV mampu mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 17 hingga 30 peratus sepanjang jangka hayat kenderaan itu berbanding yang dikuasakan oleh enjin berasaskan petrol dan diesel.

    Dalam pada itu, Muhammad Shaqib berkata sekalipun penekanan ketara diberikan terhadap tenaga boleh baharu dan EV, ketiadaan strategi komprehensif bagi pengangkutan awam begitu ketara.

    “Kerajaan wajar tangani isu ini dengan memberi tumpuan kepada pengangkutan awam, termasuk menambah baik infrastruktur serta kesalinghubungan destinasi akhir, bagi menggalakkan pengangkutan mesra alam sekitar dalam pembangunan bandar,” katanya, menambah kerajaan perlu beralih daripada sekadar memberi subsidi kepada pendekatan menyeluruh.

    Bagaimanapun Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga S. Piarapakaran berkata adalah kurang tepat untuk menyatakan penggunaan EV bersifat pelepasan karbon sifar kerana tenaga elektrik di negara ini turut dihasilkan oleh bahan api fosil.

    “Apabila penilaian kitaran hayat dilaksanakan, impak negatif terhadap alam sekitar hasil daripada peralihan global kepada EV adalah ketara memandangkan pertumbuhan EV didorong oleh aktiviti perlombongan.

    “Justeru, maklumat ini perlu disebar luas secara jelas kepada umum oleh sektor perniagaan dan kerajaan,” tegasnya.

    MITIGASI IKLIM DAN ADAPTASI

    Mengulas tentang peruntukan RM11.8 bilion bagi melaksanakan 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi bermula tahun depan, Piarapakaran berkata pihak berkenaan perlu mengambil kira faktor perubahan persekitaran bagi memastikan projek tebatan banjir berfungsi seperti yang dimatlamatkan.

    Projek tebatan banjir amnya direka bentuk bersandarkan faktor keselamatan, namun apabila berlaku perubahan guna tanah selepas projek siap, kemungkinan besar projek itu tidak mampu menampung kadar limpahan air permukaan yang tinggi kerana kapasiti model yang digunakan tidak mengambil kira aspek tersebut, jelasnya.

    “Justeru, amat penting bagi kerajaan persekutuan memastikan kerajaan negeri tidak menukar status guna tanah dan merisikokan projek tebatan banjir yang dibangunkan.

    “Perlu ada rangka kerja kawal selia agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dan tidak menggagalkan projek tebatan tersebut yang seterusnya menuntut peruntukan lain bagi menangani ‘kegagalan’ itu,” katanya.

    Dalam belanjawan itu kerajaan juga mengusulkan masing-masing RM47 juta untuk Wilayah Persekutuan dan RM70 juta bagi pihak berkuasa tempatan sebagai persediaan menghadapi banjir.

    Sementara itu, Muhammad Shaqib berkata walaupun ada langkah adaptasi diperuntukkan dalam Belanjawan 2024, didapati tidak ada langkah yang benar-benar progresif seperti mekanisme pembiayaan alternatif bagi komuniti rentan meningkatkan daya tahan mereka dalam menghadapi perubahan iklim.

    “Sepatutnya belanjawan itu mengusulkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi melalui projek tebatan banjir, namun ini tidak dilakukan dan kerajaan kekal dengan pendekatan tradisional dalam isu tersebut,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...