Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemuliharaan ikan yu tukul di Galapagos semakin dipergiat

    SANTA CRUZ, Ecuador – Selama berjuta-juta tahun, ikan-ikan yu tukul yang baru lahir telah membesar di kawasan paya bakau dan terumbu Kepulauan Galapagos yang dilindungi, selamat dari semua ancaman manusia.

    Tetapi sehingga bulan November lalu, ahli-ahli biologi tidak mengetahui bahawa ikan-ikan yu tersebut mempunyai tempat persembunyiannya tersendiri, yang mungkin menyimpan beberapa rahsia terakhir di kepulauan terpencil itu, iaitu 1,000 kilometer daripada pantai Pasifik Amerika Selatan.

    “Ia sememangnya satu kebetulan di mana kami telah menjumpai tapak pembiakan semula jadi bagi anak-anak yu tukul ini, salah satu spesies yang berada dalam paras ancaman yang tinggi,” kata Eduardo Espinoza, ahli biologi yang bertanggungjawab memantau ekosistem di Rizab Marin Galapagos.

    “Ia adalah sebuah kawasan yang unik, menarik minat para pemuliharaan,” katanya kepada AFP.

    Masih terkejut dengan penemuan itu, Espinoza dan pasukannya telah kembali semula ke tempat itu di timur laut Santa Cruz dengan menggunakan bot, untuk mengumpul data dan meletakkan peranti penjejakan pada ikan-ikan yu yang masih muda.

    Suasana ‘teluk rahsia’ di mana tempat ikan-ikan yu tukul bersembunyi di sepanjang pantai Pulau Santa Cruz di Galapagos, Ecuador. – AFP
    Ikan yu tukul ini tidak boleh berada di luar permukaan air pada lebih dua minit kerana ia memerlukan aliran air untuk mengelakkan risiko kematian. – AFP
    Ahli-ahli pasukan penyelidikan Taman Negara Galapagos mempersiapkan jaring untuk menangkap anak ikan yu tukul yang berada di tempat perlindungan, sepanjang pantai Pulau Santa Cruz di Galapagos, Ecuador. – AFP
    Ahli pasukan pemantau Ekosistem Taman Negara Galapagos melepaskan seekor anak ikan yu tukul selepas ia diukur dan dilabel padanya di sepanjang pantai Pulau Santa Cruz di Galapagos, Ecuador. – AFP

    Perjalanan yang indah itu membawa ahli saintis melewati penyu-penyu laut dan pantai putih di mana biawak laut kelihatan berjemur, sementara burung undan berterbangan di udara, sebelum bot kecil mereka itu menyelusuri ke saluran kecil antara pokok bakau sehinggalah ke permukaan air yang cetek dan berbatu.

    Terlihat jelas di kawasan perairan tersebut, berpuluh-puluh ikan yu yang berkulit keperakan, mempunyai satu mata di kedua-dua hujung kepalanya yang berbentuk ‘T’, berenang perlahan di antara spesies ikan lainnya.

    Selepas satu atau dua tahun kemudian, apabila ia semakin membesar dan memerlukan lebih banyak makanan, ia akan pergi ke lautan terbuka dan mampu mengembara sehingga beribu-ribu kilometer. Ia boleh membesar sehingga tiga meter panjang dan mampu hidup sehingga 50 tahun.

    Pengawal taman di sana telah memantau dan telah menandai ratusan yu selama bertahun-tahun. Ia dianggap sebagai mercu tanda bagi rizab laut tersebut yang mempunyai keluasan 138,000 kilometer persegi. Ia juga dikategorikan sebagai taman laut kedua terbesar di dunia, yang mana telah dinamakan sebagai Tapak Warisan Alam Semula Jadi.

    Tetapi penemuan ikan-ikan yu kecil ini adalah suatu isu yang sangat sensitif, di mana penangkapan ikan secara berlebihan dan penangkapan haram telah membuatkan ikan yu itu berada dalam senarai spesies terancam, dua peringkat di bawah kepupusan, menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam.

    Keadaan tumbesaran fizikalnya yang perlahan dan kadar pembiakan yang rendah telah memacu lagi ancaman kehidupannya. Ia membuatkan operasi melekatkan peranti penjejakan padanya dilakukan dengan lebih teliti dan berhati-hati.

    “Ikan yu, ada di sebelah kanan!” teriak salah seorang ahli pasukan. Pada ketika ini, semuanya bergerak dengan pantas.

    Pengawal taman di rizab tersebut telah memantau dan sudah menandai ratusan yu selama bertahun-tahun. – AFP
    Ahli-ahli pasukan pemantauan ekosistem Taman Negara Galapagos memberikan label pada anak ikan yu tukul dengan menggunakan cip elektronik. – AFP
    Ahli-ahli pasukan pemantauan ekosistem Taman Negara Galapagos sedang menentukan jantina anak ikan yu tukul yang berada di Galapagos, Ecuador. – AFP

    Kapten kemudian menggerakkan bot itu berada lebih dekat dengan jaring. Salah seorang pembantunya menangkap yu tersebut, setengah meter panjang, dan memegangnya di atas meja supaya Espinoza dan pasukan yang lainnya dapat mengukur dan menimbangnya, menentukan jantina dan memasukkan cip pengesan di belakangnya agar pengesanan penghijrahannya dapat di log masuk.

    Sebelum memasukkannya semula ke dalam air, mereka telah mengerak-gerakan kepala dan ekornya untuk memulihkannya, sehingga ia dapat berenang dengan sendirinya.

    “Ikan yu tersebut tidak boleh berada di luar permukaan air pada lebih dua minit kerana ia memerlukan aliran air untuk mengelakkan risiko kematian. Ianya seperti ‘pit stop’ dalam perlumbaan Formula 1,” kata ahli biologi berkenaan.

    Untuk menyelamatkan ikan yu tukul, kerajaan Ecuador -yang memiliki kepulauan itu, telah menambah zon perlindungannya pada tahun 2016, sebanyak 38,000 kilometer antara Darwin dan pulau Wolf, di mana semua aktiviti penangkapan adalah diharamkan. Kawasan ini adalah zon populasi ikan yu paling banyak di dunia.

    Jose Marin, seorang ahli biologi di Yayasan Charles Darwin, sebuah NGO penyelidikan saintifik antarabangsa, berkata Ecuador telah membuat ‘usaha mega’ dalam bidang pemuliharaan ikan yu, di mana siripnya sangat berharga dalam hidangan masakan Asia.

    “Kajian ini, kadang-kadangnya menggunakan pengesanan satelit, memberi amaran kepada kita di mana ikan-ikan ini ditangkap setelah ia meninggalkan rizab laut ini, dan membolehkan kami untuk memberitahu negara-negara lain agar dapat membantu kami dalam menangani isu perlindungannya,” katanya.

    Pada bulan Ogos lalu, sebuah kapal berbendera China telah berada di rizab laut Galapagos dengan membawa 300 tan ikan, termasuklah beberapa ekor ikan yu tukul.

    Mahkamah Ecuador, yang memberikan hukuman berat terhadap jenayah alam sekitar itu, telah menjatuhkan hukuman kepada kapten dan pegawai-pegawainya selama tiga tahun penjara, dan mendenda pemilik kapal itu sebanyak AS$6 juta. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda