Membuang jauh dunia glamor, pemuzik bergelar doktor perubatan am yang pernah mengiringi persembahan artis popular seperti Yuna dan Aizat Amdan, Dr Ahmad Mujahid Husni Salim komited dengan misi memerangi COVID-19 di Hospital Serdang, Selangor.
Lebih dikenali sebagai Moja, pemuzik lulusan bidang perubatan Universiti Kolej Dublin (UCD) dan Kolej Perubatan Pulau Pinang ini bertugas di hospital berkenaan lebih setahun lalu.
Mengetepikan sementara minat dalam muzik, Dr Moja (gambar bawah) memberi tumpuan penuh kepada usaha memerangi virus berbahaya itu. Malah, dia mendalami ilmu mengenai COVID-19 berikutan kali pertama berhadapan pandemik selepas bergelar doktor.
“Pada awalnya, saya mengaku situasi dilihat menyeramkan, apatah lagi bertugas di hospital.
“Namun, alhamdulillah, selepas fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), usaha kita meratakan lengkungan kes positif COVID-19 menampakkan perkembangan baik. Kes positif wabak itu semakin berkurangan.
“Secara tidak langsung, saya beruntung kerana dapat melalui pengalaman ini,” katanya kepada media.
Berkongsi pengalaman selama berkhidmat di Jabatan Perubatan, Hospital Serdang, Dr Moja mengaku pernah dikuarantin enam hari selepas seorang pesakit dirawat, positif COVID-19.
“Mula-mula, pesakit itu tidak disyaki kerana tiada simptom tipikal. Tetapi selepas menjalani ujian swab, keputusan diterima positif. Jadi, saya juga perlu mengambil langkah kuarantin.
“Kalau diikutkan, petugas kesihatan seperti kami perlu dikuarantin 14 hari tetapi kami tidak ada masa selama itu.
“Jadi, selepas ujian mendapati negatif, kami menyambung tugas. Pada hari keputusan diterima, keesokannya saya kembali bekerja.
“Ketika itu, saya risau, apatah lagi saya tinggal bersama keluarga. Walau bagaimanapun, Hospital Serdang menangani perkara ini dengan baik. Ketika dikuarantin, setiap hari mereka hubungi untuk beritahu perkembangan dan kata-kata semangat,” katanya yang dikuarantin enam hari mulai 23 Mac lalu.
Biarpun berdepan pelbagai cabaran, Dr Moja dan petugas barisan hadapan tidak patah semangat untuk bertugas demi rakyat.
“Antara cabaran dihadapi, pada awal tempoh PKP, kami mengalami masalah bekalan makanan. Kedai dan kafe di hospital tidak dibuka, jadi terpaksa membawa bekalan sendiri.
“Tapi lama-kelamaan, makin banyak pihak menghantar makanan. Setiap hari ada saja makanan yang diberi.
“Kadang-kadang, kami tidak tahu dari mana datangnya makanan itu. Alhamdulillah, ini semua rezeki dan kami sangat berterima kasih,” katanya.
Kagum dengan komitmen petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh bekerja, Dr Moja mendapat iltizam untuk terus berjuang dalam dunia perubatan.
“Bukan kerja yang mudah… Saya kagum melihat mereka bekerja daripada jururawat sehingga doktor.
“Mereka bekerja melebihi syif, jika diberi hari rehat, mereka secara sukarela menghulurkan bantuan. Bagi mereka, jika tidak membantu, siapa lagi?
“Mereka bukan sahaja perlu menjaga orang lain, malah diri sendiri supaya tidak membahayakan keluarga. Biarpun sedar terdedah kepada bahaya, namun, tetap bertugas sepenuh hati,” katanya.
Berkongsi mengenai karier muzik, Dr Moja komited dengan dua kumpulan muzik iaitu Shuuna pada tahun 2017 dan Monalyssa sejak tahun 2012. Dr Moja berkata, sejak berkecimpung secara aktif dalam dunia muzik, dia pernah menjayakan projek bersama Hot FM, TV3 dan artis tempatan seperti Hujan, Meet Uncle Hussein selain Yuna dan Aizat.
Bertanya bagaimana dia membahagikan masa antara kerjaya sebagai doktor dan pemuzik, Dr Moja memberitahu, dia tidak ada formula atau rahsia mengenai perkara itu. Bagi Dr Moja, semuanya berkait dengan kemahuan, jika benar-benar meminati sesuatu, pasti kita melakukannya tanpa paksaan.
“Tiada apa yang mustahil, mahu atau tidak sahaja. Orang cakap kerja dalam bidang profesional dan industri kreatif ini sukar untuk berjalan seiring. Hakikatnya, tidak… Semuanya boleh kalau kita benar-benar minat,” katanya. – Agensi