Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Seorang penagih dadah bagaikan tidak pernah insaf dan tidak mengambil pengajaran daripada hukuman terdahulu, apabila sekali lagi dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan mengambil dadah.
Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap Mohaimin bin Haji Amit yang didapati bersalah selepas perbicaraan.
Fakta kes menyebut, tertuduh diberkas di sebuah pondok di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tungku pada 2 Mac 2015 dan hanya didakwa di mahkamah pada 14 November 2016, yang mana dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Ketika dibicarakan, pihak pendakwaan telah memanggil empat orang saksi untuk memberikan keterangan terhadap tertuduh.
Mengikut rekod mahkamah, tertuduh beberapa kali telah disabit bersalah atas tuduhan mengambil dadah sejak tahun 1987. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Narkotik, Ahmed Faez Anwar.