Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Pembangunan prasarana sukan merupakan satu aspek utama untuk memastikan Negara Brunei Darussalam terus maju dan kompetitif dalam arena sukan serantau dan antarabangsa.
Strategi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menumpukan kepada memantapkan ekosistem sukan yang inklusif, mudah diakses, moden dan berdaya saing selaras dengan amalan terbaik antarabangsa serta mempunyai impak sosial yang positif kepada masyarakat.
“Langkah utama dalam strategi ini, melibatkan penambahbaikan kemudahan latihan dan pertandingan untuk menyokong kemajuan atlet ke tahap yang lebih tinggi.
“Secara dasarnya, pendekatan penambahbaikan dan penaiktarafan akan dilaksanakan secara berfasa dan berperingkat-peringkat mengikut keutamaan, pulangan pelaburan jangka panjang, daya maju, keselamatan serta peruntukan yang terancang dan berhemat,” jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann mengenai sama ada pihak kementerian mempunyai perancangan bagi membina prasarana sukan yang bertaraf antarabangsa di setiap daerah sebagai persediaan negara menganjurkan sukan peringkat antarabangsa.
Untuk memastikan pembangunan sukan yang mampan dan menyeluruh, KKBS mengalu-alukan pendekatan senegara dengan melibatkan pelbagai pihak temasuk sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai rakan strategik melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta meneroka inisiatif kerjasama awam dan swasta (PPP) bagi menaiktaraf dan membangunkan prasarana sukan yang memenuhi standard piawaian antarabangsa, ulasnya lagi semasa Persidangan MMN, hari keempat, yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Tambahnya, KKBS melihat perkara itu melalui tiga pendekatan jangka masa di mana pendekatan jangka masa pendek dengan kementerian memberikan tumpuan kepada pemeliharaan, penambahbaikan dan penggunaan optimum fasiliti sukan yang sedia ada.
Keutamaan diberikan kepada memastikan kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para atlet dan masyarakat serta memenuhi piawaian asas bagi penganjuran sukan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Yang Berhormat Dato menerangkan lanjut bahawa antara kemudahan sukan yang telah dinaiktaraf secara berfasa dan mengikut piawaian antarabangsa melalui peruntukan RKN-11 serta peruntukan tahunan KKBS adalah termasuk Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tutong, Trek Kompleks Sukan Temburong, Batu Apoi, Stadium Tertutup dan Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah yang telah menjadi lokasi kepada Kejohanan Wusyu Remaja Dunia ke-9, 2024 yang melibatkan kira-kira 50 buah negara dan lebih 900 orang peserta.
Selain itu, KKBS sedang giat membuat persediaan prasarana bagi Temasya Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) yang dijangka akan berlangsung pada November nanti.
Manakala itu, dalam pendekatan jangka masa sederhana ulas Yang Berhormat Dato, kementeriannya juga meneliti keperluan menaiktaraf atau membina prasarana sukan baharu secara berfasa di daerah-daerah tertentu tertakluk kepada keperluan, permintaan dan kedayatahanan fiskal negara.
“Kerajaan telah membelanjakan sebanyak $15 juta dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, untuk pemeliharaan dan penyelenggaraan prasarana sukan.”