Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Usaha-usaha terus dipertingkatkan dalam memastikan sumber minyak dan gas adalah mencukupi serta terdapat kesinambungan bagi bekalan tenaga dalam negera khususnya bekalan tenaga elektrik dan bahan api termasuk petroleum dan tong LPG.
Bekalan tenaga yang berterusan adalah penting dalam mendukung pertumbuhan aktiviti-aktiviti ekonomi negara dan bagi kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Penekanan kepada keberlangsungan bekalan tenaga dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam pembentangan peruntukan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya pada hari ke-12 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Dengan pelaksanaan projek pembangunan yang berterusan, Brunei telah berjaya mempertingkatkan kedudukan Indeks Kebolehpercayaan Bekalan Tenaga elektrik (System Average Interruption Duration Indeks-SAIDI) secara signifikan antara 2013 hingga 2022, di mana ia berada di tahap yang setaraf dengan yang terbaik di rantau ini.
“Namun, seperti juga dengan utiliti-utiliti pembekal tenaga di negara lain, negara tidak terlepas daripada cabaran insiden gangguan bekalan tenaga yang tidak dijangka-jangka, yang mana pada lazimnya disebabkan oleh infrastruktur sistem yang gagal untuk berfungsi di tahap optimum, dan juga perkara-perkara yang di luar kawalan.”
Oleh itu, tegas Yang Berhormat Pehin, keutamaan diberikan kepada penaiktarafan prasarana sistem bekalan tenaga elektrik dari segi pengukuhan, pembaikan dan pembaharuan.
Ia termasuk meningkatkan lagi keberkesanan aktiviti-aktiviti penyelenggaraan pencegahan dan penyelenggaraan pembetulan pada sistem penjanaan, sistem rangkaian penghantaran dan pembahagian serta juga lampu-lampu jalan.
Sementara itu, dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan kritikal yang terkesan oleh insiden gangguan bekalan elektrik, Jabatan Perkhidmatan Elektrik giat memperbaiki tindakan balas khususnya melalui Pelan Kesinambungan Operasi (BCP) yang lebih berintegrasi antara pihak-pihak kerajaan yang berkaitan.
Ia termasuk memastikan ketersediaan bekalan tenaga daripada saluran dan sumber alternatif termasuk genset bergerak bagi menampung bekalan pada situasi gangguan yang di luar jangkaan.
Dalam memenuhi keperluan rakyat dan penduduk negara, usaha untuk meningkatkan kapasiti bekalan tenaga elektrik giat dilaksanakan dan ke arah itu, jelas Yang Berhormat Pehin, pembinaan Stesen Jana Kuasa Bukit Panggal Fasa Kedua telah direncanakan dan dijangka akan mula beroperasi pada 2027.
“Keutamaan turut diberikan bagi memperluaskan penyediaan perkhidmatan bekalan tenaga elektrik ke kawasan-kawasan pedalaman termasuk Mukim Sukang dan Melilas, Daerah Belait yang sudah mula menerima bekalan secara berfasa.”
Manakala itu, bagi bekalan bahan api untuk kegunaan dalam negeri, dengan adanya loji penapisan minyak di Pulau Muara Besar, bekalan produk petroleum akan sentiasa dapat dijamin dan had minimum stok negara kekal di tahap 21 hari pada setiap masa.
Manakala itu, bagi tong LPG, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa had minimum stok negara akan ditingkatkan dari tujuh hari kepada 14 hari bermula 2024 bagi memastikan bekalan adalah lebih tinggi daripada kadar permintaan pada masa ini.
“Pelan kontingensi bekalan LPG, yang merupakan langkah jangka masa yang pendek, juga telah diperkukuhkan menerusi pengimportan LPG secara bulk bilamana ia diperlukan, untuk seterusnya diproses bagi pembotolan di kilang LPG Lumut,” tekannya.
Bagi jaminan jangka masa panjang, sebuah kilang pembotolan baharu akan dibangunkan di Pulau Muara Besar pada 2026 dengan kapasiti yang lebih tinggi dan konsep reka bentuk yang lebih cekap.