Monday, July 14, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penamaan semula DEC kepada Majlis Digital Brunei

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penamaan semula Majlis Ekonomi Digital (DEC) kepada Majlis Digital Brunei bersama dengan penstrukturan semula strategik keahliannya untuk lebih mencerminkan penglibatan penting pelbagai pihak berkepentingan dalam perjalanan transformasi digital negara.

    Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucaptama pada Persidangan dan Pameran Masa Depan Digital (DFCE) 2025 yang berlangsung di Dewan Munawwarah, Setia Point, hari ini.

    Beliau menerangkan lebih lanjut bahawa langkah itu menggariskan komitmen negara ke arah pendigitalan di mana pendigitalan dan inovasi bukan sahaja mengenai menerima pakai serta mencipta teknologi baharu tetapi ia adalah bagi meningkatkan cara kita bekerja dan menyelesaikan masalah sebenar dalam kaedah baharu menerusi kepimpinan, nilai etika dan rekaan berpaksikan rakyat.

    Dalam ucaptamanya lagi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut mengumumkan inisiatif baharu di bawah Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) yang dikenali sebagai Waspada.bn iaitu sebuah platform semakan fakta di mana orang ramai boleh mengesahkan maklumat dan berita yang diterima melalui media sosial.

    Pada masa ini, jelasnya, Waspada.bn disediakan di Instagram untuk diikuti dan akan dikembangkan menjadi sebuah laman sesawang yang membolehkan susun atur maklumat lebih komprehensif untuk rujukan orang ramai terhadap maklumat salah dan berita palsu menjelang awal 2026.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menyampaikan ucapan pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Sementara itu, mengulas mengenai penggubalan Perintah Perlindungan Data Peribadi baru-baru ini, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menekankan bahawa tujuan utamanya adalah untuk memupuk keyakinan kepada orang ramai, untuk menyemai budaya akauntabiliti dalam organisasi serta memupuk kepercayaan dalam kalangan individu mengenai cara data peribadi mereka dikendalikan.

    Setelah tamat tempoh satu tahun, perintah itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada Januari 2026.

    Beliau juga memuji AITI atas penerbitan dua dokumen panduan utama iaitu Guide to Developing a Data Protection Management Programme dan Guide for the Appointment of Data Protection Officers, untuk membantu organisasi dalam mengemudi melalui keperluan masing-masing.

    Di samping itu, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary juga menyentuh penipuan atas talian yang menjadi satu kebimbangan utama di mana ia memerlukan penyelarasan pelbagai agensi dan rentas sempadan untuk ditangani bersama.

    Sebagai tindakan kepada ancaman yang semakin meningkat itu, Jawatankuasa Sekuriti Siber Kebangsaan secara aktif telah menilai pelbagai perspektif untuk menangani serta mengurangkan ancaman sekuriti siber termasuk penipuan atas talian.

    Salah satu inisiatif yang sedang berjalan bagi menangani masalah berkenaan telah dilaksanakan oleh AITI dengan sokongan daripada UNN dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu pendaftaran semula kad SIM pra-bayar mandatori yang bermula awal tahun ini.

    Beliau menyatakan inisiatif tersebut merupakan satu langkah utama ke arah pencegahan penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi khususnya kad SIM bagi kegiatan penipuan.

    Menurutnya lagi, beberapa individu telah ditahan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei bagi operasi penipuan termasuk mereka yang bertindak sebagai keldai Kad SIM, menyewakan kad SIM yang digunakan bagi operasi penipuan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyatakan bahawa daripada pelaksanaan fasa pertama pendaftaran semula berkenaan, sebanyak 36 peratus pelanggan prabayar keseluruhan telah mendaftar semula dengan penyedia perkhidmatan masing-masing pada suku pertama 2025.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda