Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar MuizMatdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Seperti kebiasaannya pada setiap Hari Raya, para pengendali perahu tambang meraih rezeki daripada menghantar penumpang yang jumlahnya sering kali berlipat ganda, namun pada tahun ini berbeza di mana penumpang yang diperolehi hanya sebilangan kecil sahaja seperti hari-hari biasa.
Perkara ini dikongsikan oleh Haji Daim bin Haji Tengah yang merupakan salah seorang pemilik perahu tambang di Kampong Ayer yang menjelaskan, seperti kebiasaannya penumpang yang diperolehi setiap kali menjelang Hari Raya sehari lebih 65 penumpang dari pukul 9 pagi hingga pukul 6:30 petang.
Ini tidak termasuk bagi pelanggan tetap beliau yang menempah beliau untuk menghantarnya ke tempat rumah-rumah terbuka pada setiap Hari Raya, tetapi pada tahun ini jumlah tersebut menurun jika dibandingkan pada tahun sebelumnya, di mana pada tahun ini kurang daripada 50 penumpang yang menaiki perahu beliau untuk dihantar ke destinasi yang hendak dituju, jelasnya.
Penurunan jumlah penum-pang ini, menunjukkan orang ramai sangat mengambil perhatian dan kewaspadaan dalam pengawalan penularan COVID-19 sekali gus mengikut saranan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan untuk sentiasa mengawal penjarakan sosial dan mengelakkan daripada melakukan perkumpulan dalam jumlah yang ramai dalam menyambut Hari Raya ini.
Manakala Awang Tassim bin Haji Badar juga salah seorang penambang di Kampong Ayer yang telah berkecimpung dalam kerjaya menambang perahu selama empat tahun berkata, “jika tahun sebelumnya, sambutan Hari Raya amat dinantikan kerana rezeki yang diperolehi terutama pada Hari Raya pertama hingga ketiga rezeki yang diperolehi berlipat berganda dari hari-hari biasanya.”
Beliau menjelaskan, pada awalnya, penambang-penambang perahu sepatutnya mengikut perancangan iaitu beratur sebelum mengambil pelanggan dan orang ramai, walau bagaimanapun perancangan tersebut terpaksa dibatalkan bagi memastikan orang ramai boleh membuat perjalanan ke destinasi yang hendak dituju dengan segera.

