SPESIES Eulophia graminea adalah sejenis orkid liar di beberapa buah negara Asia yang memiliki bunga yang sangat cantik dan menarik. Yang menarik mengenai bunganya ialah kelopak-kelopak yang berwarna kehijauan.
Manakala salah satu daripada kelopaknya itu berwarna putih yang dipenuhi dengan bintik-bintiknya berwarna ungu. Tumbuhan ini tergolong dalam keluarga tumbuhan Orchidaceae.
Perkataan Graminea pada nama spesiesnya bermaksud rumput. Oleh sebab itu ia juga digelar dan dikenali sebagai Grass orchid kerana daunnya juga mirip dengan daun rumput.
Ia hanya sesuai tumbuh dalam medium tanah dan diklasifikasikan sebagai Terestrial orchid atau orkid tanah. Ia boleh didapati tumbuh meliar di kawasan belukar di kampung, ladang kelapa sawit atau di hutan belantara.
Pembiakan
Tumbuhan Eulophia graminea ini senang untuk dibiakkan dengan menggunakan anak benih yang biasanya banyak tumbuh di sekeliling pokok induknya yang sudah matang.

Kaedah penanaman
Cabut anak benih pokoknya secara berhati-hati agar akarnya tidak terputus. Cara lain adalah dengan mengorek anak pokoknya bersama dengan medium tanaman yang masih terlekat pada akarnya agar ia mudah tumbuh subur menjadi pokok yang baru.
Tanam anak benih pokok sama ada dalam pasu atau di tanah.
Namun ia juga boleh dibiakkan dengan menggunakan pecahan rumpun pokoknya. Kaedah pembiakan dengan menggunakan pecahan rumpun pokoknya dimulakan dengan memecahkan rumpun pokok kepada beberapa rumpun yang kecil.
Tanam setiap rumpun tersebut dalam pasu atau di tanah. Ia juga memerlukan medium tanaman yang bersaliran baik dan kaya dengan bahan organik untuk tumbuh subur.
Medium tanaman untuk pokok berpasu adalah dalam nisbah 3:2:1 yang merangkumi tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai di mana ia sesuai untuk penanamannya.
Penjagaan
Pada dasarnya, Grass Orchid ini memerlukan pendedahkan kepada cahaya matahari yang banyak untuk pertumbuhan yang subur dan menggalakkan proses pembungaan.
Siram dua kali sehari pada hari panas dan semburkan juga air pada daunnya. Siram hanya perlu sahaja pada hari hujan.
Gunakan baja organik seperti najis ayam atau kelawar atau baja kompos lain yang siap diproses.
Anda juga boleh menggunakan baja khas untuk tanaman orkid yang boleh dibeli dari pusat tanaman.
Ikuti jumlah dan kekerapan penggunaannya seperti arahan yang disyorkan pada pek baja yang digunakan.
Idea pameran
Pokok ini sangat sesuai untuk ditanam dalam pasu atau bekas tanaman yang lain. Malah ia juga sesuai ditanam di tanah dalam skala yang luas untuk pameran bunganya yang cantik dan menarik pemandangan.
Pokoknya sesuai untuk ditanam bagi menghiasi taman yang menampilkan tema tropika atau Nusantara. Ia nampak cantik seperti di alam semula jadinya iaitu di hutan tropika.