Penampilan berbeza anggota kumpulan SNSD atau Girls’ Generation, Kwon Yu-Ri atau lebih dikenali sebagai Yuri mencuri perhatian ramai, kongsi mStar.
Menerusi beberapa foto yang dimuat naik di Instagram, Yuri tampil anggun mengenakan hijab dan pakaian tertutup semasa berada di sebuah negara di Timur Tengah.
Dalam kapsyen, Yuri berkongsi bahawa dirinya sedang menghadiri sebuah pameran jenama Korea di Arab Saudi.
“Saya berasa gembira kerana diberi penghormatan memperkenalkan produk-produk syarikat kecil dan sederhana Korea kepada masyarakat Arab Saudi,” tulisnya.
Dalam pada itu, penampilannya yang sopan dan sederhana ini menonjolkan sisi lain Yuri yang jarang dilihat oleh peminat, sekali gus membuatkan ramai tersentuh dan teruja dengan perubahan sementara itu.
Tidak hairanlah, rata-rata peminat meninggalkan komen pujian, malah ada yang berasa terhibur melihat Yuri tetap cantik walaupun mengenakan hijab yang sedikit senget.
“Ala comelnya dia pakai tudung.
“Saya teruja sangat nak tolong betulkan tudung dia.
“Tak apa, perlahan-lahan, yang penting istiqamah,” komen warganet. – Agensi