TIBU, COLOMBIA, 29 OKT – Penanam koka di Colombia semalam membebaskan 180 tentera yang ditahan sebagai tebusan ketika satu operasi antidadah, awal minggu ini.
Perkara itu diumumkan oleh ombudsman hak asasi bawah kerajaan, selepas Presiden Ivan Duque menggesa supaya tentera terbabit dibebaskan.
Kejadian berlaku ketika tentera berkenaan melaksanakan operasi memusnahkan ladang tanaman bagi penghasilan kokain itu, berhampiran sempadan Venezuela, Selasa lalu.
Jeneral Omar Sepulveda memberitahu pemberita, enam platun bawahnya telah ‘diculik’ di Tibu oleh petani yang menentang pemusnahan ladang haram terbabit yang menjadi sumber pendapatan mereka.
Beliau berkata tentera berkenaan dikepung petani yang bersenjatakan kayu dan parang, sebelum ditahan di sebuah sekolah luar bandar.
Bagaimanapun, petani berkenaan kemudian mengambil keputusan secara ‘unilateral’ untuk berundur serta ‘tidak menghalang kerja pasukan kerajaan’, menurut pejabat ombudsman yang menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah itu, dalam satu kenyataan. – AFP
