Monday, September 16, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penanaman kopi bantu tingkat pendapatan masyarakat

    MALAYSIA – Menanam kopi di Malaysia terbukti menguntungkan petani tempatan yang kini mempunyai pendapatan tetap hasil daripada Nestle.

    Petani Che Nai Hassan, 57, yang telah mengusahakan kopi Robusta sejak 11 tahun lalu di ladang seluas dua hektar di Kampung Bandar Hilir, di Sik, Kedah, berkata dia berjaya meraih keuntungan dan kadang-kala menanam 20 tan metrik kopi dalam setahun.

    “Saya ada 2,500 pokok kopi di tanah saya. Saya jualnya (kopi) kepada Nestle dan syarikat-syarikat lain.

    “Saya mengusahakannya dengan bantuan tiga pekerja,” katanya.

    Che Nai, mengeringkan biji kopi di ‘rumah kaca’ yang dibina sendiri baru-baru ini, berkata proses itu mengambil masa 10 hingga 14 hari, tertakluk kepada keadaan cuaca.

    Jamaliah Ahmad memetik dan mengutip daun kering dari tanaman kopi di tapak semaian di pekarangan rumahnya di Kedah. – ANN/The Star
    Pengurus Perkhidmatan Pertanian Nestle (Malaysia) Berhad Chong Chin Yin menunjuk-kan kopi Robusta di ladang Nescafe Grown Respectfully di Kedah. – ANN/The Star
    Che Nai Hassan mengkais biji kopi yang dikeringkan diladangnya di Kedah. – ANN/The Star
    Perunding ladang kopi Nestle Malaysia Berhad, Abdul Razak Jaarif (kiri) bercakap kepada salah seorang pekerja di ladang tanaman Nescafe Grown Respectfully. – ANN/The Star

    “Jika panas, maka 10 hari. Jika tidak, lebih lama masa diperlukan dan ia mesti dikais setiap hari,” katanya.

    Romlah Hamid, 67, yang merupakan pencari nafkah tunggal di rumahnya, berkata menguruskan tapak semaian itu telah membantunya kerana dia perlu menjaga suaminya yang uzur dan anak perempuan.

    “Ia memerlukan usaha dan, pada usia saya, saya perlu duduk apabila ingin memeriksa tanaman dan menyiramnya tetapi dapat melakukan tugas itu dari rumah adalah lebih memudahkan.

    “Saya boleh memeriksa pokok sementara sedang memasak dan kerja-kerja lain. Saya memeriksanya daripada diserang serangga perosak dan memotong daun yang sudah kering. Saya boleh mengendalikan 200 pokok pada satu masa,” katanya.

    Romlah yang tinggal di Bandar Baru Beris Jaya di Sik, menjaga sekitar 10,000 pokok kopi pada satu-satu masa. Katanya, dia memperoleh pendapatan bulanan yang lumayan tanpa perlu keluar rumah.

    Jamaliah Ahmad, 51, yang mengusahakan tapak semaian di Kampung Sungai Pau, juga di Sik, bersama suaminya berkata, dia pernah menjadi penoreh getah yang berpendapatan RM500 sebulan tetapi kini boleh mengaut sekitar RM30,000 setahun daripada menjaga tanaman kopi.

    “Kami menjaga kira-kira 10,000 pasu tetapi biasanya hanya menjual sekitar 9,000 pasu, dengan mengambil kira sebahagian daripadanya tidak subur.

    “Apabila saya bangun, saya menyiramnya, kemudian memeriksa sama ada daunnya mengering dan mencabutnya untuk memastikan tumbuhan itu kelihatan baik dan tidak mempunyai sebarang pepijat.

    “Kemudian pada waktu malam, selepas semua kerja rumah saya selesai, saya dan suami duduk dan ‘mencantumkan’ tanaman. Kami boleh membuatnya sehingga 300 pokok dalam satu malam,” katanya.

    Manusia, planet dan keuntungan

    Pengurus Perkhidmatan Pertanian Nestle (Malaysia) Berhad Chong Chin Yin berkata sejak 1985 mereka telah mewujudkan program penghubung petani di Malaysia di mana mereka bekerja dengan petani dan menjalankan inisiatif.

    “Matlamatnya adalah untuk membantu mereka meningkatkan hasil mereka. Setiap kali kita memulakan sebarang projek pertanian, perkara pertama yang kita lihat ialah manusia, planet dan keuntungan.

    “Kita perlu menjaga rakyat dan membantu mereka membangun dan mengaut keuntungan, bermakna kita mahu mereka memperoleh hasil yang baik.

    “Kami kemudiannya boleh mendapat akses kepada bahan mentah berkualiti dan, pada masa yang sama, alam sekitar dijaga.

    “Bagi kami, ini mewujudkan nilai bersama mereka mengembangkan bahan mentah dan kami memerlukannya, jadi ia menjadi cara yang mampan untuk menghasilkan bahan mentah,” katanya.

    Chong berkata mereka memulakan Nescafe Grown Respectfully di Kedah pada 2019.

    “Kami memulakan projek ini untuk mendapatkan lebih ramai petani, dan kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka.

    “Ini adalah satu cara untuk menambah pendapatan mereka kerana terdapat penambahan pendapatan daripada biji kopi selain daripada tanaman mereka yang lain.

    “Kami telah mendekati lebih 200 orang petani,” katanya.

    Beliau berkata kerjasama antara Jabatan Perkhidmatan Pertanian Nestle Malaysia dan Jabatan Pertanian Ekonomi Kedah (Keda) bermula pada awal 1990an.

    “Petak seluas tiga ekar untuk tapak semaian tanaman induk diwujudkan bertujuan menyokong pembangunan ladang kopi tempatan di samping membantu petani menambah sumber pendapatan.

    “Pada 2019, kerjasama telah diperluaskan kepada program Nescafe Grown Respectfully dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Jabatan Pertanian Negeri Kedah (KSDA) dan Keda.

    “Program itu ditubuhkan dengan matlamat untuk menghidupkan semula sektor perladangan kopi tempatan dan memupuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan untuk sektor itu, sambil menyokong keselamatan makanan negara dan menaikkan semangat masyarakat dan petani tempatan.

    “Ia menyediakan latihan mengenai pengeluaran anak benih, penubuhan ladang kopi dan amalan pertanian yang baik, termasuk pertanian regeneratif (tanaman selingan, agroforestry, cover cropping) di samping meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos ladang, meminimumkan kesan alam sekitar dan meningkatkan kecekapan kerja petani.

    “Ia menerapkan etika pertanian yang baik dengan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama iaitu hormati petani, hormati komuniti petani dan hormati planet kita,” katanya.

    Kopi Kedah

    Chong berkata di peringkat global, Nestle menjalankan program lapangan petani secara aktif di 16 buah negara, dengan 250 juta pokok kopi diagihkan kepada petani sejak 2010.

    “Pencapaian utama program di Malaysia termasuk memberi impak positif kepada lebih 200 petani.

    “Lebih 270,000 kopi Robusta telah ditanam dengan sokongan teknikal daripada Nestle untuk penanaman di tanah seluas 150 ekar di Kedah dan Perak.

    “Menerusi program itu, Nestle Malaysia melancarkan kopi 100 peratus tempatan pertamanya, Nescafe Classic Kopi Kedah,” katanya.

    Beliau berkata Nestle membeli 100 tan metrik biji kopi yang ditanam Kedah untuk Nescafe Classic Kopi Kedah pada 2021. “Tapak semaian pokok induk kami di Sik juga telah dipulihkan untuk menyediakan bahan tanaman yang mencukupi untuk pengeluaran anak benih kopi,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda