Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penanaman sukun kembalikan budaya Lahaina

    LAHAINA, HAWAII – Bagi orang ramai di seluruh dunia, daun hijau yang tumbuh daripada pokok beringin berusia 150 tahun yang hangus di tengah-tengah Lahaina yang musnah melambangkan harapan berikutan kebakaran hutan Maui musim panas ini.

    Pasukan bergegas menyiram akarnya dengan air, dengan harapan dapat menyelamatkan pokok indah yang telah menyediakan tempat teduh untuk acara komuniti, tempat perkahwinan dan latar belakang yang popular untuk pelancong bergambar.

    Tetapi kebakaran itu juga hampir menghapuskan satu lagi kumpulan pokok, satu dengan sejarah yang lebih lama di Lahaina dan kepentingan yang lebih besar dalam budaya Hawaii, iaitu sukun, atau ulu, yang telah memberikan rezeki sejak pelayar Polinesia memperkenalkannya ke pulau-pulau beberapa abad yang lalu.

    Sebelum kolonialisme, pertanian komersial dan pelancongan, beribu-ribu pokok sukun bertaburan di Lahaina; namun api memusnahkan semua kecuali dua daripada puluhan atau lebih yang tinggal.

    Kini, tatkala Maui pulih daripada kebakaran hutan AS yang paling teruk dalam lebih satu abad, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 98 orang terkorban, sekumpulan pakar pokok, petani dan landskap telah berusaha menyelamatkan ulu, kacang kukui dan pokok budaya lain di Lahaina, dalam beberapa kes menggali ke akar spesimen yang terbakar teruk untuk mencari tisu hidup yang boleh digunakan untuk membiak tunas baharu.

    Hokuao Pellegrino bercakap mengenai sejarah sukun di Lahaina di Ladang Noho’ana di Waikapu, Hawaii. – AP
    Pellegrino mengupas sukun yang sudah masak. – AP
    Buah sukun belum masak. – AP
    Dua pucuk tunas tumbuh daripada akar pokok sukun di Ladang Noho’ana. – AP
    Pokok sukun terbakar kelihatan di Lahaina, Hawaii. – AP
    Pellegrino bergambar di depan pokok sukun pertamanya di Ladang Noho’ana. – AP

    Mereka melihat kemusnahan itu sebagai peluang untuk memulihkan pokok-pokok di Lahaina, untuk mengajar tentang penjagaan dan penggunaannya, selain menuntut semula sedikit sebanyak identiti bersejarah bandar di tengah-tengah perbincangan yang lebih besar tentang sama ada pembinaan semula komuniti akan menjejaskan penduduk tempatan dan budaya Hawaii sebagai mengganti orang luar yang berusaha menikmati keindahan kawasan tropika itu.

    “Walaupun dalam tragedi dan kemusnahan ini, timbulnya harapan dalam komuniti kami bahawa terdapat peluang di sini untuk memupuk kesedaran dan penghargaan dan penggabungan beberapa nilai dan sejarah dan identiti kami,” kata Noa Kekuewa Lincoln, penyelidik bersekutu tanaman asli di Universiti Hawaii di Manoa.

    Pokok beringin

    Pokok beringin di tengah-tengah Lahaina adalah anak pokok apabila ia ditanam pada tahun 1873 – suku abad sebelum Kepulauan Hawaii menjadi wilayah AS dan tujuh dekad selepas Raja Kamehameha mengisytiharkan Lahaina sebagai ibu kota kerajaannya. Ia adalah hadiah yang dihantar dari India untuk memperingati ulang tahun ke-50 misi Protestan pertama di Lahaina.

    Pokok itu amat disayangi, menjulang lebih daripada 18 meter tinggi dan menjangkau hampir satu ekar dengan akar udara turun dari dahannya. Ia telah memberikan tempat teduh untuk penduduk tempatan dan pelancong di sebuah bandar yang namanya bermaksud ‘matahari tanpa henti.’

    Tetapi bagi sesetengah orang, ia juga mewakili penjajahan yang akhirnya mengubah Lahaina menjadi destinasi pelancongan.

    Sebaliknya, penyelidik percaya sukun dan kacang kukui – kini pokok negeri Hawaii – adalah antara banyak tumbuhan boleh dimakan yang dibawa oleh pengembara Polinesia sekitar 1,000 tahun lalu.

    Import sedemikian mungkin dibawa merentasi lautan, dibungkus dengan sabut kelapa yang reput dan daun kering dan dilindungi dalam bakul kelapa yang dianyam.

    Minyak kacang kukui digunakan untuk obor – kukui dikenali sebagai ‘pokok cahaya.’

    Kegunaan lain termasuk kayu untuk kanu, pewarna untuk tatu dan infusi kulit kayu untuk memulihara jaring ikan.

    Sukun

    Ulu boleh tumbuh sehingga 18 meter tinggi, dengan daun hijau gelap yang besar, dan setiap satu boleh menanggung ratusan paun sukun.

    Makanan asas di beberapa negara tropika, buahnya kelihatan seperti limau bersisik yang besar. Ia biasanya berkanji dan dimakan masak, seperti kentang atau roti. Ia mempunyai jangka hayat yang pendek, reput dalam masa 48 jam selepas masak.

    Kaipo Kekona, penduduk asli Lahaina generasi kesembilan, telah mengetuai usaha untuk memulihkan hutan makanan purbanya selama beberapa tahun.

    Beliau berkata ulu boleh dijadikan hidangan menyerupai kentang lecek, kentang goreng, mousse, hummus, kek, pai dan kerepek, dan ia boleh membantu memastikan jaminan makanan apabila industri lain gagal, seperti pelancongan semasa wabak atau selepas kebakaran hutan.

    “Apabila kita melihat usaha penghutanan semula di bandar kita, penebusgunaan ulu dan nilai sejarahnya, ia boleh dilengkapkan dengan selera masyarakat kami yang sentiasa berkembang,” kata Kekona.

    Jejak zon terbakar sebahagian besarnya bertindih dengan apa yang dikenali dalam sejarah Hawaii sebagai Malu ulu o Lele, ‘dusun sukun Lele yang teduh,’ Lele merupakan nama awal untuk Lahaina.

    Menjelang akhir abad ke-19, banyak pokok tersebut telah dibakar untuk memberi laluan kepada ladang gula. Sumber air tawar di sungai dan terusan dialihkan. Pembangunan mengubah landskap menjadi destinasi pelancongan dengan jumlah pokok yang jauh lebih sedikit.

    Usaha untuk menghidupkan semula beringin dan pokok-pokok penting lain yang masih hidup termasuk mengangkut masuk air dalam trak, menggunakan ekstrak kompos dan menguji tanah.

    Para sukarelawan yang bekerja untuk menyelamatkan sukun Lahaina telah menggali untuk mengekstrak bahan akar yang dapat hidup. Dalam satu kes, mereka mengupas asfalt yang melapisi batang sukun yang hangus. Di bawah tanah, mereka menemui kehidupan.

    Sampel yang mereka kumpulkan kini berada di makmal Universiti Hawaii di Hilo, di Pulau Besar. Lincoln mengunjurkan beratus-ratus pokok boleh dibiakkan, dengan benih atau anak pokok diberikan kepada pemilik rumah yang ingin menanam semula hartanah mereka.

    Tetapi menanam semula sukun di kawasan bandar datang dengan cabaran, kata Steve Nimz, seorang pakar arbor di Oahu yang telah membantu memulihkan pokok Lahaina.

    Apabila sukun yang masak jatuh, ia merecik dan reput dalam keadaan kotor yang tidak sedap dipandang, melekit namun berbau harum.

    Pokok yang ditanam berhampiran kaki lima atau kawasan awam boleh mendatangkan ancaman kepada orang yang lalu lalang, kerana sesetengah jenis mempunyai buah seberat sehingga 5.5 kilogram. Buah sukun yang jatuh boleh menyebabkan kecederaan serius.

    “Awda mungkin tidak mahu meletakkan sukun di kawasan trafik yang sangat sibuk,” kata Hokuao Pellegrino, ahli etnobotani yang telah membantu dalam kerja sukarelawan dan yang mempunyai 22 pokok sukun di ladangnya sendiri di Waikapu, di seberang Pergunungan Maui Barat dari Lahaina.

    “Tetapi memulihkan sebahagian daripada ladang sukun sebagai sebahagian daripada landskap pemilik rumah individu, kini ia adalah usaha yang wajar, kerana ia boleh diuruskan lebih baik sedikit.”

    Pellegrino berkata usaha untuk menanam semula sukun di Lahaina juga perlu dilakukan seiring usaha untuk mengajar orang ramai tentang penjagaan dan kegunaannya: “Kami mahu orang ramai menggunakan sukun itu. Kami tidak mahu ia hanya berada dalam landskap.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda