AMSTERDAM – Bunga tulip dan bitcoin telah dikaitkan dengan kitaran ekonomi berkembang pesat, tetapi dalam rumah hijau gergasi berhampiran Amsterdam, syarikat Belanda berusaha menggabungkan kedua-duanya untuk menjayakan perniagaan yang diusahakan.
Jurutera Bert de Groot memeriksa enam lombong bitcoin ketika mereka menjalankan pengiraan kompleks untuk menghasilkan mata wang kripto, mengeluarkan bunyi kuat dalam udara panas setiap kali ia beroperasi.
Udara panas itu kini memanaskan rumah tanaman di mana deretan tulip ditanam, justeru mengurangkan kebergantungan petani pada gas di mana harganya telah melambung naik sejak serangan Rusia ke atas Ukraine.
Server bitcoin pula menggunakan tenaga solar yang diperoleh dari bumbung, sekali gus mengurangkan bil elektrik yang amat tinggi untuk perlombongan selain mengurangkan impak ke atas alam sekitar.
Sementara itu, petani dan syarikat de Groot, Bitcoin Brabant, sedang menghasilkan kripto, yang masih menarik pelabur meskipun krisis terbaharu melanda pasaran.








“Kami fikir dengan mengamalkan kaedah memanaskan rumah hijau dengan cara ini dan pada masa sama memperoleh bitcoin, kami mempunyai situasi yang menguntungkan,” katanya.
Kegemaran bunga tulip oleh warga Belanda menyebabkan kejatuhan pasaran saham buat pertama kali pada abad ke-17 apabila spekulasi harga bebawang mendorong harga meningkat, hanya menyaksikannya turun selepas itu. Kini Belanda ialah pengeluar tulip terbesar di dunia dan juga pengeksport pertanian kedua terbesar pada keseluruhannya selepas Amerika Syarikat, dengan kebanyakannya ditanam di rumah hijau.
Namun negara dengan kawasan tanah pamah itu menyedari tentang kesan industri pertanian ke atas perubahan iklim, sementara petani bergelut dengan harga tenaga yang tinggi.
Selain itu, perlombongan mata wang kripto memerlukan penggunaan elektrik yang amat besar untuk menjana komputer, membawa kepada kesan alam sekitar di tengah usaha global untuk mengatasi perubahan iklim.
De Groot, 35, yang hanya memulakan perniagaannya pada awal tahun ini dan kini mempunyai 17 pelanggan termasuk restoran dan gudang, berkata ia menjadikan bitcoin dan bunga tulip satu gabungan terbaik.
“Operasi ini sebenarnya negatif karbon, begitu juga dengan segala operasi yang saya bangunkan,” kata de Groot yang mempunyai rambut panjang dan berpakaian kemeja polo warna jingga dengan logo firmanya.
“Sebenarnya, kami mempertingkat alam sekitar.”
Beliau juga menjual bunga tulip dalam talian untuk bitcoin menerusi perniagaan bernama Bitcoinbloem.
Kolaborasi itu bermula apabila Koning ternampak video yang diterbitkan oleh de Groot di Twitter mengenai perlombongan bitcoin, dan terus menelefonnya.
Sekarang terdapat enam server di rumah tanaman mereka, dengan lokasi sebenar dirahsiakan Koning untuk mengelak pencuri menyasarkan mesin berharga 15,000 euro di firma itu.
Syarikat Koning memiliki separuh daripadanya dan menyimpan bitcoin yang dikeluarkan oleh mereka, sementara de Groot dibenarkan menyimpan tiga servernya di sana sebagai tukaran kepada kunjungan bulanan untuk membersihkan habuk dan serangga dari kipas server.
Dengan perbezaan 20 darjah Celsius di antara udara yang memasuki mesin dan meninggalkannya, ia menyediakan haba yang diperlukan untuk menanam tulip, dan mengeringkan bebawang yang menghasilkan tanaman itu.
“Perkara paling penting yang diperoleh daripada operasi adalah kami menjimatkan gas asli,” kata Koning. Kedua, kami memperoleh Bitcoin dengan mengendalikannya dalam rumah hijau.”
Kos tenaga yang besar telah mendorong beberapa firma pertanian Belanda yang sering bergantung pada rumah hijau untuk menghentikan penanaman pada tahun ini, sementara yang lainnya telah jatuh muflis, menurut Koning.
Sementara itu, ahli falsafah Nicholas Taleb, yang membangunkan idea peristiwa yang tidak dapat diramalkan namun bersejarah ‘black swan’, telah membandingkan Bitcoin dengan ‘Tulipmania’ yang melanda Belanda hampir 400 tahun lalu.
Ia menyaksikan harga untuk satu bebawang meningkat kepada lebih 100 kali lebih tinggi daripada pendapatan tahunan purata pada masa itu sebelum gelembung pecah pada 1637, menyebabkan bank jatuh muflis dan orang kehilangan wang simpanan mereka. Sektor mata wang kripto buat masa sekarang sedang pulih daripada kejatuhan tukaran utama – dengan Bitcoin sekarang bernilai kia-kira AS$16,300 setiap unit, merosot daripada AS$68,000 pada November 2021 – tetapi de Groot tidak berasa bimbang.
“Saya langsung tidak risau mengenai nilai jangka panjang sistem monetari yang tidak berubah,” katanya.
“Bitcoin akan bertahan selama-lamanya.” – AFP

