Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penandatanganan Deklarasi Sanur Bali bagi penubuhan APAGM

    BALI, INDONESIA, 16 SEPT – Negara-negara ASEAN kelmarin meraikan satu pencapaian bersejarah dengan penandatanganan Deklarasi Sanur Bali, yang secara rasminya menubuhkan Mesyuarat Pendakwa Raya/Peguam Negara ASEAN (APAGM).

    Badan baharu ini akan menjadi tonggak penting bagi kerjasama perundangan serantau, memperkukuh peranan pejabat pendakwa raya dan peguam negara dalam menegakkan kedaulatan undang-undang, menyampaikan keadilan menyeluruh serta melindungi kepentingan awam di seluruh Asia Tenggara.

    Majlis penandatanganan tersebut telah diadakan di Bali, Indonesia dan dihadiri oleh peguam negara serta pendakwa raya dari negara-negara anggota ASEAN, termasuk Peguam Negara dan Pendakwa Raya Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib dan para pegawai pendakwa kanan dari Pejabat Peguam Negara.

    Di bawah Deklarasi Sanur Bali, APAGM diiktiraf sebagai sebuah Badan Peringkat Menteri Sektoral ASEAN, yang akan berfungsi sebagai platform penting untuk kerjasama antara pihak berkuasa pendakwaan negara-negara anggota ASEAN.

    Ia bertujuan meningkatkan pembangunan kapasiti, memudah cara perkongsian maklumat, dan menyelaras usaha menangani jenayah rentas negara serta menegakkan kedaulatan undang-undang di rantau ini.

    Gambar ramai semasa majlis penandatanganan Deklarasi Sanur Bali di Bali, Indonesia baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PEJABAT PEGUAM NEGARA

    Jenayah rentas negara kekal salah satu cabaran paling mendesak di rantau ini, merangkumi antaranya, pemerdagangan orang, perdagangan dadah haram, pengubahan wang haram, jenayah siber dan kesalahan-kesalahan alam sekitar.

    Tambahan pula, kebangkitan ancaman baharu seperti penyalahgunaan kecerdasan buatan, serangan siber berteknologi tinggi dan penyebaran maklumat palsu, menekankan lagi keperluan tindak balas perundangan serantau yang diselaraskan.

    APAGM akan menyediakan satu mekanisme rasmi bagi penyelarasan dan kerjasama pendakwaan, sekali gus memperkukuh infrastruktur perundangan ASEAN serta meningkatkan keupayaannya dalam menangani ancaman jenayah yang kian berkembang.

    Ia akan bekerjasama rapat dengan badan-badan peringkat menteri sektoral ASEAN yang sedia ada, seperti Mesyuarat Menteri Undang-undang ASEAN (ALAWMM), Mesyuarat Menteri/ Peguam Negara ASEAN bagi Pihak Berkuasa Pusat mengenai Bantuan Perundangan Bersama Dalam Perkara Jenayah (AMAG-MLAT), serta entiti-entiti lain yang berkaitan dengan ASEAN.

    Deklarasi Sanur Bali in merupakan kemuncak daripada siri mesyuarat perundingan antara pejabat peguam negara dan pendakwa raya dari negara-negara anggota ASEAN.

    APAGM akan disokong oleh Mesyuarat Pegawai Kanan Pendakwa Raya/Peguam Negara ASEAN (SOM-APAGM), bagi memastikan kesinambungan dan pelaksa-naan inisiatif-inisiatif strategik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda