KUALA LUMPUR, 2 MEI – Penang FC melakar kemenangan terbesar mereka dalam kempen Liga Super 2021 setakat ini apabila membelasah Terengganu FC 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam ini, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada sembilan perlawanan.
Kali terakhir juara Liga Premier musim lepas itu tewas adalah ketika berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada awal Mac lalu.
Turun sebagai pasukan pelawat, skuad kendalian Tomas Trucha mengejutkan TFC dengan dua gol pada separuh masa pertama, masing-masing dijaringkan pemain import dari Tajikistan, Sheriddin Boboev pada minit kelapan dan kapten pasukan Endrick dos Santos pada minit ke-21. – Bernama