BOURNEMOUTH, ENGLAND, 5 APRIL – Penyerang remaja menjaringkan gol Brighton dalam kemenangan 2-0 Liga Perdana ke atas Bournemouth yang meningkatkan aspirasi pasukan Eropah itu kelmarin.
Pemain antarabangsa Ireland, Evan Ferguson, 18, dengan bergaya menjaringkan hantaran lintang rendah Kaoru Mitoma pada minit ke-28 untuk meletakkan Brighton di landasan untuk kemenangan yang membawa pasukan itu naik ke tangga keenam dan empat mata di belakang tempat Liga Juara-Juara.
Pemain gantian, Julio Enciso, seorang pemain Paraguay berusia 19 tahun, memastikan kemenangan buat Seagulls pada masa kecederaan dengan gol pertamanya untuk kelab itu ketika dia memotong bahagian dalam pertahanan dan menjaringkan gol dari jarak dekat.
Hamed Traore mensia-siakan peluang separuh masa pertama untuk menyamakan kedudukan bagi Bournemouth, yang tergelincir ke zon penyingkiran dengan perbezaan gol.
Kemenangan bagi pasukan kendalian Roberto De Zerbi itu sedikit terganggu oleh pemain tengah berpengaruh, Moises Caicedo yang mengalami kecederaan buku lali 10 minit sebelum tamat permainan. Pasukan itu tidak pernah tewas sejak Oktober 2022 dan hanya mengalami satu kekalahan pada 2023. – AP


