ISELWALD, SWITZERLAND – “Ia seperti impian jadi kenyataan,” kata seorang pelancong Filipina, Isabel Palijon, sambil merenung penuh kekaguman ke arah jeti kayu yang seakan membingkaikan gambar perairan biru tasik Switzerland dan Alps yang menjulang tinggi di sebaliknya.
Dan dia tidak berseorangan. Sejak siri popular Korea Selatan ‘Crash Landing on You’ (CLOY) menyiarkan adegan romantik, perkampungan Iseltwald yang indah itu kini dibanjiri oleh pelancong Asia.
Siri popular di Netflix itu mengisahkan tentang waris jutawan Korea Selatan yang secara tidak sengaja meluncur terbang ke zon bebas tentera di semenanjung kedua-dua buah negara, kemudian ditemui dan jatuh cinta dengan pegawai tentera yang berkhidmat untuk pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Beberapa babak imbasan dalam siri tersebut dirakam di Switzerland, termasuk adegan romantik di jeti kayu Iseltwald, di mana pelakon lelaki utama bermain piano dengan melodi yang indah ketika gadis yang bakal dicintainya tiba melalui feri dari Interlaken.
“Saya berharap suatu hari nanti seseorang akan melakukan seperti itu kepada saya,” kata Jiah Hni Gwee, pelancong berusia 35 tahun dari Malaysia, merenung ke jeti di mana piano itu diletakkan. “Ia pasti sangat luar biasa dan romantik.”
Dia adalah antara puluhan pelancong yang bersiar-siar di sekitar tasik pada hari yang cerah baru-baru ini, ketika bot wap besar yang membawa bendera Switzerland berhenti di dok berdekatan, penuh dengan pengunjung.
Pemandangan yang mempesonakan dan suasana romantis telah menjadikan jeti itu sebagai tempat mesti dikunjungi bagi peminat CLOY yang melawat Eropah.
Siri 16 episod itu disiarkan ketika permulaan COVID dan menjadi siri yang mesti ditonton di sebahagian besar Asia semasa perintah berkurung pandemik.
Kajian Kementerian Budaya Korea Selatan mendapati CLOY adalah rancangan K-Drama kedua paling popular di kalangan penonton luar pada 2021 selepas Squid Game.
Tetapi kejayaan siri itu telah memberikan sedikit kerumitan yang tidak dijangka buat Iseltwald, terutama sejak tahun lalu apabila sekatan perjalanan dilonggarkan di sebahagian besar Asia.
“Jumlah pengunjung melonjak,” kata pengurus pejabat pelancongan tempatan, Titia Weiland kepada AFP.
Dia berkata ia sukar untuk mengira berapa ramai pelancong CLOY yang datang tetapi menganggarkan bahawa ‘bagi setiap seorang orang tempatan yang tinggal di sini, ia adalah 1,000 orang pengunjung’.
Dia menekankan bahawa “setiap orang di Iseltwald – yang mempunyai penduduk seramai 400 orang – gembira menyambut pelancong yang ramai,” namun memberitahu ‘ia sedikit membebankan’.
Musim panas lalu, sehingga 20 buah bas pelancongan tiba setiap hari, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kadangkala menghalang akses ke kampung tersebut.
Dan penduduk tempatan mengadu bahawa peminat CLOY kebiasaannya meluru ke jeti kayu itu untuk bergambar sebelum bergerak, sering meninggalkan kotoran.
Dalam usaha untuk menangani kebanjiran pengunjung, majlis perbandaran pada bulan lalu mengumumkan hanya bas pelancong membuat tempahan awal dan membayar tempat letak kereta yang ditempah akan dibenarkan masuk.
Dan ia memasang lawang putar di jeti, yang boleh dilalui oleh pelancong selepas membayar ‘bayaran swafoto’ sebanyak lima franc Swiss (AS$5.50).
Sonja Hornung, pengurus Hotel Strand yang menghadap jeti, berkata langkah tersebut telah memberikan perbezaan dan restorannya memberikan pelanggan token lawang putar.
“Tahun lalu, ia sangat teruk, (tetapi) kini lebih baik,” katanya, yang memuji sistem token yang secara dramatik mengurangkan jumlah bas pelancong.
Namun, segelintir pelancong merasa kurang senang dengan lawang putar dan harga yang dikenakan.
“Oh lima francs!” kata Florita Lichtensteiger, wanita Filipina berusia 54 tahun yang menetap di Switzerland, ketika dia datang bersama beberapa orang ahli keluarganya yang melawat.
Dai dengan berat hati membayar untuk mereka, tetapi tidak menyertainya, mengatakan dia telah berada di sana sekurang-kurangnya 10 kali sebelum ini. “Semua tetamu saya mahu melihat tempat ini,” tambahnya.
“Ia tidak berbaloi,” kata Nayeon Park, pemuda Korea Selatan berusia 21 tahun.
Weiland menegaskan bahawa pembayaran diperlukan untuk menyelenggarakan jeti tersebut, yang menyaksikan jumlah pengunjung yang datang melonjak.
“Ia perlu selamat. Iseltwald adalah seperti syurga di bumi,” katanya. “Kami mahu mengekalkannya seperti itu.”- AFP