KUALA LUMPUR – Penampilan pertama kali penyanyi terkenal Indonesia Krisdayanti di pentas Panggung Sari, Istana Budaya menerusi Konsert Romansa Krisdayanti 2017 hampir dua jam tidak dirasai.
Persembahan penyanyi berusia 42 tahun itu sebanyak 26 buah lagu berjaya membuatkan penonton terleka dek penangan seleksi rangkaian lagu-lagu popularnya menerusi lima segmen iaitu Romantis, Keanggunan, Tribute, Kekuatan (rock) dan Kehebatan.
Ternyata Krisdayanti yang lebih mesra dengan sapaan KD masih belum hilang taringnya sebagai salah seorang penghibur terkemuka di Asia.
Pembukaan menerusi lagu Pilihlah Aku tepat dalam menaikkan keterujaan penonton dan KD tampil penuh bertenaga di hadapan peminat yang memenuhi ruang Panggung Sari.
KD turut menyampaikan lagu tema Syurga Yang Tak Dirindukan 2 sebelum meneruskan persembahan pada segmen pertama menerusi lagu-lagu popularnya seperti Pengabadian Cinta, Ku Tak Sanggup dan Menghitung Hari yang berjaya melonjakkan namanya di Malaysia.
Malah penyanyi itu sempat berkongsi pengalaman pertamanya hadir ke negara ini selepas lagu itu popular di kalangan pendengar.
“Jika bukan kerana Menghitung Hari mungkin sehingga hari ini tiada siapa di Malaysia yang kenal siapa Krisdayanti.
“Ia sangat istimewa kerana lagu inilah saya boleh menganggap Malaysia sebagai rumah ketiga saya selepas Jakarta dan Timur Leste,” katanya penuh emosi.
Tidak membiarkan emosi sentimental terbuai terlalu lama, KD meneruskan persembahan dengan lagu nyanyian asal Adele iaitu Send My Love sebelum menjemput Datuk Jamal Abdillah ke pentas untuk berduet dengannya menerusi lagu Hati Ini Telah Dilukai.
Kemunculan Jamal di Istana Budaya menggamatkan suasana dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton malah KD sendiri memberitahu seakan tidak percaya apabila penyanyi lagenda itu sudi berduet dengannya.
Menariknya mengenai konsert ini, ia menampilkan krew produksi dan pemuzik sepenuhnya dari Malaysia.
Malah pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito turut diberi tanggungjawab mengemudi persembahan itu.
Pada konsert malam pertama itu juga, KD turut menyampaikan empat buah lagu sebagai tribute kepada Biduanita Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Kemunculan pada segmen ketiga itu dengan lagu Saloma iaitu Kuala Lumpur dan Apa Guna Berjanji cukup bertenaga dan KD berjaya membawa versinya sendiri dengan begitu baik.
Malah ketika menyampaikan lagu Sudirman iaitu Hujan dan Salam Terakhir, KD dilihat begitu beremosi namun berjaya menyampaikan kedua-dua lagu itu dengan baik dan bersahaja.
Segmen itu boleh dikatakan antara yang meninggalkan kesan kepada penonton dek kehebatannya menyanyikan lagu-lagu berkenaan dengan penuh rasa hormat dan lahir dari jiwanya.
Bijak bermain dengan perasaan penonton, sebelum tampil dengan segmen rock, KD menampilkan penyampai radio Suria FM iaitu Zulin Aziz untuk mengusik hati penonton dengan lawak jenaka spontannya.
Zulin berjaya menggalas tanggungjawabnya dengan baik dan bersahaja walaupun ia adalah sebuah konsert melibatkan nama besar.
Tampil dengan gaya rock, KD kembali muncul di pentas dengan seleksi lagu-lagu rock seperti Bring Me To Life, Fantasia Bulan Madu, Suci Dalam Debu, Mengapa, Cobalah Setia sebelum mengakhiri dengan It’s My Life.
KD turut mengambil kesempatan turun daripada pentas untuk mendekati peminat-peminatnya sebelum menghampiri penyanyi terkenal Datuk Rossa yang turut hadir memberikan sokongan.
Secara spontan, KD menyerahkan mikrofon kepada Rossa untuk sama-sama bernyanyi bersamanya menerusi lagu Fantasia Bulan Madu.
Antara selebriti lain yang turut hadir adalah Adibah Noor, Salamiah Hassan dan Mayang Sari.
Sebelum melabuhkan tirai persembahan, KD tampil dengan segmen terakhir yang menyaksikan dia menyampaikan lagu-lagu seperti Jika Kau Tak Datang, Rambulan, Semua Jadi Satu, Mahadaya Cinta, Sleep to Dream, Goyang Dumang, Penasaran dan Mencintaimu.