SELANGOR, MALAYSIA – Berasal dari Kelantan, nasi kukus merupakan hidangan nasi yang istimewa.
Hidangan itu mengandungi nasi yang dikukus hingga menjadi gebu dan menghasilkan aroma wangi, yang dihidangkan bersama ayam goreng atau jenis lauk yang lain, sambal dan dibanjiri dengan gulai kuah yang banyak.
Tapi awda tidak perlu pergi ke Lembah Kelang untuk menikmati kelazatan masakan nasi kukus Kelantan.
Awda boleh pergi ke Pok Nik Nasi Kukus Pandan Indah di Ampang Jaya, Selangor, bersebelahan Tower B, Universiti Sains Islam Malaysia.
Kedai makan itu sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan, bukan setakat nasi kukus sahaja, malah ia juga terkenal dengan minuman ‘teh beng madu’ (teh ais dengan madu).
Ia mempunyai empat buah cawangan iaitu di Cheras Baru, Maluri, Ampang dan Kajang.
Semasa menyediakan nasi kukus yang masih panas dan segar, pemilik kedai, Nik Samsul Bahrin Sabtu, 51, telah mengongsikan rahsia kejayaan peniagaannya yang diusahakan bersama isterinya, Nor Hayati Hussein, 46.
“Kami mempunyai gudang kami sendiri di Cheras Baru, di mana kami sendiri yang menyembelih ayam, menyediakan gulai dan memerap ayam setiap hari,” dedahnya.
Sajian tersebut juga disediakan bersama ayam diperap seharian sebelum dihantar ke beberapa cawangan lainnya, tambahnya.
Mengenai rahsia nasi kukusnya, Nor Hayati mengongsikan bahawa nasi tersebut dikukus di dalam pengukus yang ditutup rapat, yang membolehkan nasi masak dengan sekata dan akan menjadi lembap dan mudah terurai, berbanding menjadi gumpalan dan melekit.
“Untuk menjadikan ayamnya lebih lembap, kami memerapnya dengan rempah khas Kelantan termasuk bawang, bawang putih, serai dan lengkuas selama kira-kira dua hingga empat jam.
“Sekiranya kami memerapnya terlalu lama, ia tidak akan menjadi selembap ini,” katanya.
Rempah yang digunakan untuk gulai pula didatangkan khas dari Kelantan.
“Pembekal yang membuatkan rempah khas ini untuk kami, seperti rempah darat (rempah kering yang dikisar), rempah kari dan rempah kerutuk,” ujarnya.
Manakala bagi sambalnya, lada gred A digunakan bagi memastikan tahap kepedasan yang memuaskan, dikisar dengan bawang putih, bawang besar dan perasa.
Nasi kukus juga sesuai dinikmati bersama ayam kampung, ayam dara, ayam cincang, burung puyuh, ikan sembilang dan ikan bawal.
Restoran itu juga menawarkan masakan tradisional Melayu, termasuk nasi kerabu dan nasi lemak, serta hidangan sampingan seperti sambal sotong, sambal paru, ayam percik dan ayam bakar.
Harga nasi kukus bersama ayam kampung atau burung puyuh berharga RM10.50, manakala bagi nasi kukus bersama ayam dara berharga RM8 dan RM7.50 jika bersama ayam cincang. Sementara itu menu teh beng madu dan beng madu hijau masing-masing berharga RM6 dan RM7. – ANN/The Star