Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penangguhan aktiviti rentas sempadan dan subbenua India

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan berikutan penularan COVID-19 yang kian meningkat di sebahagian kawasan seluruh dunia, aktiviti rentas sempadan dan kebenaran kemasukan dan keluar bagi Republik India serta empat buah negara subbenua India dilanjutkan lagi.

    Ia juga merujuk kepada siaran media Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertarikh 20 Mei dan 17 Mei lalu mengenai kedua-dua perkara itu. Penangguhan adalah dilanjutkan lagi selama dua minggu bermula 1 sehingga 15 Jun bagi kemasukan warga warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Negara Brunei Darussalam, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam.

    Kemasukan dan perjalanan transit hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh Negara Brunei Darussalam dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan, bagi tujuan urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan kecemasan seperti ambulans, polis dan tentera dan operator pengangkutan divaksin berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh Negara Brunei Darussalam bagi penghantaran bekalan import yang penting.

    Penangguhan juga adalah bagi kebenaran pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan oleh runners berdaftar di negara ini dan keluar dan masuk negara secara ulang alik (commuters) melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

    Sementara itu lanjutan penangguhan sementara bagi kebenaran kemasukan dan keluar negara bagi lima negara subbenua India iaitu India, Sri Lanka, Nepal, Pakistan dan Bangladesh bagi tempoh sama yang juga termasuk perjalanan masuk semua warganegara asing berlepas dari atau melalui mana-mana lapangan terbang negara terbabit.

    Walau bagaimanapun, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di negara ini adalah dibolehkan untuk memasuki negara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

    Ia juga ditangguhkan bagi perjalanan warganegara asing yang berlepas dari subbenua India (India, Nepal, Sri Lanka, Pakistan dan Bangladesh) dengan melalui Negara Brunei Darussalam secara transit dan warga negara terbabit yang telah diberikan kebenaran awal untuk memasuki Negara Brunei Darussalam melalui penerbangan yang telah dibenarkan.

    Penangguhan juga adalah bagi perjalanan keluar dari Negara Brunei Darussalam menuju ke subbenua India (India, Nepal, Sri Lanka, Pakistan dan Bangladesh) atas apa jua sebab atau urusan. Walau bagaimanapun, pemegang paspot diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di negara ini adalah dibolehkan untuk membuat perjalanan keluar negara serta warganegara asing yang memegang pas pekerjaan atau pas tanggungan yang mana telah dibatalkan atau pemegang Special Authorization Work Pass atau Professional Visit Visa yang telah bekerja sementara di Negara Brunei Darussalam dan akan kembali ke negara asal masing-masing secara tetap.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda