ANKARA, 12 MEI – Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani, memberi amaran hari ini bahawa penangguhan pelaksanaan perjanjian antara pentadbiran baharu Syria dan pasukan pimpinan Kurdish di timur laut akan memperpanjangkan huru-hara di negara itu.
Kenyataannya dibuat ketika Parti Pekerja Kurdistan (PKK) mengumumkan ia dibubarkan, pengumuman Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish yang mengawal kawasan utara dan timur laut Syria masih belum mengulasnya.
Langkah PKK adalah saat penting untuk kestabilan serantau, kata Shaibani pada sidang media di Ankara bersama rakan sejawatannya dari Turkiye dan Jordan.
Syria melaksanakan perjanjian nasional dengan Pasukan Demokratik Syria dan menggabungkan semua kawasan di bawah kawalan negara pusat,” katanya.
Pada Mac lalu, Presiden sementara Syria Ahmed al-Sharaa dan ketua SDF, Mazloum Abdi, menandatangani perjanjian untuk mengintegrasikan institusi awam dan tentera pentadbiran Kurdish autonomi di timur laut ke dalam kerajaan negara itu.
Perjanjian tersebut, yang dipersetujui tiga bulan selepas penggulingan pemerintah lama Bashar al-Assad, dijangka akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.
“Proses ini rumit dan sensitif tetapi ia perlu,” kata Shaibani sambil menambah menangguhkan pelaksanaan perjanjian ini akan memanjangkan huru-hara, membuka pintu kepada campur tangan asing dan meningkatkan penguasaan pihak pemisah.
“Matlamat kami bukan penguasaan tetapi penyatuan,” katanya.
“Kami berminat untuk melaksanakan perjanjian ini dan kami berharap pihak lain serius komited untuk melaksanakan perjanjian ini,” tambahnya. – AFP
