Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penangguhan rentas sempadan dilanjutkan lagi hingga 15 September

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan pelanjutan penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan selama 15 hari lagi dari 1 hingga 15 September 2021.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPM, lanjutan penangguhan berkenaan adalah bagi kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi negara ini, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Brunei.

    Syarat-syarat berkenaan termasuk bagi tujuan atas urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera) dan vaccinated transport operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi penghantaran bekalan import yang penting.

    Lanjutan penangguhan berkenaan juga termasuk pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan (checkpoints) yang dibuat oleh runners berdaftar di negara ini serta keluar dan masuk negara secara ulang alik (commuters) melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

    Dalam pada itu, JPM turut ingin memaklumkan pelanjutan penangguhan sementara kebenaran kemasukan dan keluar negara bagi lima buah negara dari subbenua India, iaitu Republik India, Republik Demokratik Persekutuan Nepal, Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka, Republik Islam Pakistan dan Republik Rakyat Bangladesh selama 15 hari hingga 15 September depan.

    Ini termasuk bagi perjalanan masuk semua warganegara asing yang berlepas dari atau melalui mana-mana lapangan terbang di subbenua India (India, Nepal, Sri Lanka, Pakistan dan Bangladesh).

    Walau bagaimanapun, pemegang paspot diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di negara ini dibolehkan untuk membuat perjalanan keluar negara serta warganegara asing yang memegang pas pekerjaan atau pas tanggungan yang telah dibatalkan atau pemegang Special Authorisation Work Pass atau Professional Visit Visa yang telah bekerja sementara di negara ini dan akan kembali ke negara asal masing-masing secara tetap.

    Penangguhan kebenaran itu juga dikenakan bagi warganegara asing yang telah diberikan kebenaran awal untuk memasuki Negara Brunei Darussalam dari subbenua India melalui penerbangan yang telah dibenarkan sebelum ini, maka kebenaran tersebut adalah ditarik balik.

    Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa.

    Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang JPM atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel travelapplication@jpm.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda