BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Kebenaran keluar negara ke United Kingdom (UK) bagi pelajar-pelajar akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga 31 Januari 2021, tertakluk kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan.
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini mengatakan, penangguhan kebenaran adalah susulan makluman dari Kementerian Pendidikan semasa sidang media yang diadakan pada 24 Disember lalu mengenai penangguhan sementara kebenaran pelajar membuat perjalanan ke UK.
Penangguhan termasuklah kebenaran awal pelajar-pelajar yang berhasrat membuat perjalanan ke UK mengikuti Penerbangan Diraja Brunei pesawat BI 003 dijadualkan pada Sabtu, 2 Januari 2021 ini.
Walaubagaimanapun, para pelajar yang mempunyai keperluan pengajian tertentu dan tidak ada disediakan pilihan pembelajaran (termasuk peperiksaan) secara dalam talian (online) di institusi pengajian masing-masing, perlulah menghadapkan permohonan terlebih dahulu ke Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan pertimbangan khas untuk membuat perjalanan ke UK.