Pasangan komposer, Julfekar Ahmad Shah dan Min Yasmin tidak pernah berputus asa biarpun terpaksa menunggu selama sedekad untuk mendapatkan zuriat.
Akhirnya penantian tersebut berakhir selepas Min selamat melahirkan anak damit sulung mereka pada 16 September lalu.
Tarikh berkenaan disifatkan amat bermakna kerana jatuh pada Hari Malaysia.
Menceritakan pengalamannya yang menanti lama sebelum dikurniakan cahaya mata, isteri komposer terkenal itu mengakui terharu dan sebak dengan anugerah yang tidak ternilai itu.
“Alhamdulillah, saya selamat melahirkan anak damit lelaki pada hari yang cukup istimewa iaitu 16 September. Memang tidak terjangkau akan melahirkan seawal ini. Sementelah suami pula berada di Filipina atas urusan kerja.
“Saya terpaksa melahirkannya secara pembedahan akibat masalah tekanan darah tinggi yang tidak terkawal. Malah, detak jantung anak damit waktu itu semakin lemah. Selepas berbincang, doktor sarankan supaya terus dibedah,” ujar Min semasa temu bual bersama SinarPlus.
Mengulas lanjut mengenai kelahiran permata hatinya itu, pemilik nama sebenar Nurul Yasmin Abdul Aziz mengakui, tiada kata-kata yang mampu diungkapkan tatkala diri sudah bergelar ibu selepas lama menunggu.
“Sebagai ibu, saya sangat bersyukur atas kurniaan ini. Kalau nak cakap tentang perasaan saya, memang tidak tergambar dengan kata-kata. 10 tahun penantian yang cukup berbaloi kerana inilah yang kami nanti-nantikan selama ini. – Agensi