Penantian bekalan air bersih rakyat Marudi berakhir

MARUDI, SARAWAK, 25 NOV – Penan-tian puluhan tahun penduduk Marudi untuk mendapatkan bekalan air bersih kini berakhir apabila mereka berpeluang menikmati keperluan asas itu menerusi Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu yang siap sepenuhnya pada September lepas, memberi manfaat kepada kira-kira 8,000 penduduk di 32 rumah panjang dan dua kampung di sini.

Ketua Masyarakat Iban Marudi, Pemanca Randie Bunda berkata bekalan air bersih itu memberi sinar baharu kepada penduduk untuk menikmati kemudahan yang setaraf dengan masyarakat di bandar.

Katanya sudah sekian lama penduduk Marudi memerlukan bekalan air bersih bagi aktiviti harian terutama di rumah panjang yang mempunyai jumlah pengguna air yang ramai.

“Projek ini memberi kelegaan dan keselesaan kepada rakyat di sini kerana mereka sudah lama mengalami kesulitan disebabkan kekurangan bekalan air bersih. Ia menjadi bukti kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan Persekutuan menerusi KPLB tidak meminggirkan keperluan rakyat di luar bandar,” kata Randie kepada Bernama di majlis perasmian projek BALB di Rumah Panjang Ridab, Sungai Pasir di sini, hari ini. 

Majlis perasmian projek itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg membasuh muka menggunakan air paip selepas merasmikan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Rumah Panjang Ridab Sungai Pasir Marudi, semalam. – Bernama