Thursday, July 4, 2024
22.7 C
Brunei

    -

    Penari cilik Sabah harumkan nama Malaysia

    KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Penari cilik dari Sabah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tiga pingat emas di pentas akhir Tarian Piala Dunia (DWC) di Prague, Republik Czech.

    Para pelajar dari empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Mutiara, SK St. Agnes, SK Sri Gaya dan SK Bundu berjaya menambat hati para juri dengan persembahan memukau, sekali gus membawa pulang dua pingat perak dan dua pingat gangsa menerusi pertandingan tarian antarabangsa bagi semua kategori yang diadakan di Pusat Kongres Prague.

    Tahun ini, seramai 27 pelajar dari Malaysia berusia 11 dan 12 tahun bersaing dengan 3,750 penari dari 67 negara di pentas akhir DWC yang berlangsung dari 27 Jun hingga 6 Julai.

    SK Mutiara menggondol pingat emas dalam kategori Solo Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-Kanak, manakala SK Sri Gaya merangkul emas dalam kategori Kumpulan Kecil Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-kanak.

    SK St Agnes turut menyumbang pingat emas dalam kategori Duet/Trio Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-kanak.

    Selain itu, SK Mutiara turut memenangi pingat perak dalam kategori Duet Kanak-kanak/Trio Kebangsaan dan Budaya Rakyat, Kategori Kanak-kanak Kumpulan Kecil Kebangsaan dan Budaya Rakyat (gangsa) serta kategori Budaya Rakyat Kebangsaan (Lelaki) Kanak-kanak Solo (gangsa). SK St Agnes juga menggondol pingat perak dalam kategori Solo Kebangsaan dan Budaya Rakyat.

    Guru-guru dan ibu bapa berbangga dengan pencapaian kali ini kerana mereka bekerjasama mengumpul dana bagi menghantar penari berbakat itu ke Prague bagi memenuhi impian mereka bertanding di pentas akhir DWC – Olimpik Tarian.

    Ketua rombongan, Masdi Ahmad Mus berkata kerja keras para pelajar dan guru selama beberapa bulan akhirnya membuahkan hasil apabila mereka cemerlang di pentas antarabangsa.

    “Semua penari berlatih setiap hari demi kejohanan kali ini. Mereka telah membuat persiapan rapi untuk memberikan persembahan yang terbaik”. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Wanita paling ramai terkorban dalam tragedi rempuhan di India

    NEW DELHI, 3 JULAI – Kebanyakan mangsa rempuhan di sebuah perhimpunan keagamaan Hindu di negeri Uttar Pradesh, utara India kelmarin adalah wanita, menurut senarai...