SHANTOU, CHINA – Mengangkat rakan sepasukannya yang lelaki ke udara, Lin Xinmeng yang merupakan seorang penggiat seni, berlatih tarian singa China yang terkenal di seluruh dunia bersama kumpulan yang menghapuskan norma patriarki berabad-abad lamanya.
Menggabungkan akrobatik, seni mempertahankan diri dan teater, tarian singa dipercayai membawa kemakmuran dan melindungi daripada roh jahat.
Dipersembahkan di seluruh China dan dunia, semasa acara perkahwinan dan pembukaan perniagaan, tarian singa menjadi acara utama dalam perayaan Tahun Baharu Cina, yang bermula pada Rabu lalu.
“Saya mengetahui mengenai tarian ini secara kebetulan di jalan pada suatu hari. Saya merasakan tarian tersebut sangat mempesonakan,” kata Lin, 18, kepada AFP di halaman sebuah kuil di bandar Shantou, selatan China, tempat kumpulannya berlatih.
“Ketabahan para penari dan keupayaan mereka melakukan pergerakan ini benar-benar mengagumkan saya. Saya ingin menjadi seperti mereka,” katanya.
Di dalam kostum yang terdiri daripada kepala singa besar yang berwarna-warni dan sehelai kain sutera panjang mewakili badan, para penari harus bergerak secara serasi untuk ‘menghidupkan’ haiwan itu.
Ia boleh menjadi mencabar bagi badan penari, di mana salah seorang daripada mereka sering perlu mengangkat rakan sepasukan di bahagian pinggang untuk meniru pergerakan singa melompat dengan kaki belakangnya.
Usaha fizikal yang intensif, ditambah dengan sikap patriarki yang berakar umbi, telah lama menyebabkan wanita diketepikan daripada tradisi ini.
Namun, Lin Likun, seorang jurulatih kumpulan berusia 31 tahun, berkata kehadiran wanita menjadikan persembahan tarian singa lebih ‘menarik’ dan membolehkan lebih ramai orang mewarisi ‘warisan tidak ketara’ ini.
“Kami sentiasa mencari cara untuk berinovasi, memberi nafas baharu kepada tarian singa,” katanya.
“Ia juga membolehkan kami mencerminkan aspirasi wanita,” tambahnya, walaupun ada yang terpaksa berhenti di tengah jalan kerana cabaran fizikal yang tinggi.
Kumpulan itu, yang dikenali sebagai Lingdong, mempunyai kira-kira 80 ahli berusia antara 13 hingga 33 tahun, kebanyakannya pelajar sekolah.
Sekitar 20 daripada mereka adalah wanita.
Walaupun kehadiran wanita muda dalam kumpulan itu mendapat respons yang ‘kebanyakannya positif’, Lin mengakui bahawa masih ada ‘ejekan’ dan ‘reaksi negatif’.
“Sesetengah orang tua berpendapat bahawa wanita sepatutnya tinggal di rumah dan melakukan kerja rumah. Tetapi generasi kami mempunyai pandangan yang berbeza,” katanya.
“Kami percaya pada kesaksamaan antara lelaki dan wanita,” tambahnya.
Semakin ramai wanita di China menolak keterikatan terhadap kewajipan tradisional yang dikenakan oleh ibu bapa mereka, yang mengharapkan mereka berkahwin dan mempunyai anak pada usia muda.
Perubahan budaya itu disertai dengan kemasyhuran pemain tenis Zheng Qinwen, juara Sukan Olimpik Paris tahun lalu, dan kejayaan kritikal filem China ‘Her Story’, yang membincangkan ketidaksamaan jantina dalam masyarakat moden.
“Sesetengah orang kata seorang gadis tak boleh memimpin singa. Tapi ini adalah minat saya, dan hanya saya yang berhak untuk meneruskannya,” kata penggiat seni Lin Xinmeng.
“Saya mahu mengatasi diri saya, untuk menunjukkan bahawa gadis tidak semestinya kurang baik daripada lelaki,” jelasnya.
Lin berjoging, melakukan squat dan latihan angkat berat untuk mempersiapkan dirinya bagi bahagian paling mencabar secara fizikal dalam tarian tersebut.
Dia melihat penyertaan wanita dan gadis sebagai cara ‘menggabungkan kekuatan maskulin dan keanggunan feminin’.
Seorang lagi gadis dalam kumpulan itu, Dong Zidan, mempunyai 45,000 pengikut di rangkaian sosial Douyin, versi TikTok China, di mana dia sering berkongsi kandungan mengenai tarian singa.
“Saya harap dapat menggalakkan lebih ramai gadis untuk menyertai adat kita dan mewarisi warisan tidak ketara ini,” katanya.
Projek seterusnya jurulatih Lin adalah untuk memastikan jumlah gadis dalam pasukannya sama banyak dengan lelaki.
Dia kemudiannya akan berusaha untuk mewujudkan kumpulan tarian singa yang hanya dianggotai wanita, satu matlamat yang masih jauh dicapai memandangkan cabaran yang masih ada.
“Fakta akan membuktikan bahawa gadis boleh menonjolkan diri sama seperti lelaki,” tegasnya.
“Sama ada dalam tarian singa atau dalam kehidupan seharian.” – AFP