Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Pihak Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) memaklumkan kepada orang ramai bahawa International Food Safety Authorities Network (INFOSAN) telah mengeluarkan pemberitahuan berkaitan penarikan balik produk ByHeart Whole Nutrition Infant Formula yang dikaitkan dengan kejadian wabak botulisme anak damit di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS).
BDFA dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini telah mengesahkan bahawa jenama yang terjejas tidak diimport secara komersial ke negara ini.
Namun, orang ramai yang telah membawa masuk produk tersebut sebagai konsesi peribadi atau membelinya melalui platform dalam talian adalah dinasihatkan untuk menghentikan penggunaannya serta-merta.
Botulisme anak damit selalunya bermula dengan sembelit tetapi biasanya mula dikesan melalui kesukaran untuk menyusu (menghisap dan menelan), tangisan yang lemah dan berubah, serta kurang kawalan kepala.
Produk yang ditarik balik meliputi semua nombor lot, semua saiz tin dan paket sajian tunggal. Selain itu, produk itu juga diedarkan secara dalam talian melalui peruncit utama seperti Amazon.com, yang telah memaklumkan kepada semua pelanggan yang membeli produk ByHeart melalui platform tersebut.
BDFA turut mengingatkan semua bahawa di bawah Seksyen 9 subseksyen (1), subperenggan (i) Akta Kesihatan Awam (Makanan) (Bab 182), mana-mana individu yang menyediakan, menjual atau mengimport makanan yang boleh memudaratkan kesihatan boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

