Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penarikan balik susu formula di AS diperluas susulan kes botulisme meningkat

    LOS ANGELES, 12 NOV – Penarikan semula susu formula anak damit jenama ByHeart Whole Nutrition di Amerika Syarikat (AS) telah diperluas meliputi semua produknya susulan peningkatan kes botulisme anak damit di beberapa negeri, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

    Setakat Isnin, sebanyak 15 kes anak damit disyaki atau disahkan menghidap botulisme telah dilaporkan dari 12 negeri, menurut kemas kini di laman sesawang rasmi CDC, dengan beberapa kes masih menunggu pengesahan makmal.

    Daripada 14 kes yang mempunyai maklumat mengenai tarikh mula penyakit, gejala dilaporkan bermula antara 9 Ogos dan 10 November, menurut CDC.

    Bagi 14 anak damit yang maklumat umur dan jantinanya diketahui, CDC memaklumkan bahawa pesakit berumur antara 16 hingga 157 hari, dan separuh daripadanya adalah perempuan.

    ByHeart pada awalnya menarik balik dua kelompok susu formula Whole Nutrition pada 8 November.

    Namun, CDC dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) memberi amaran bahawa kelompok lain juga mungkin tercemar dan dikaitkan dengan peningkatan kes jangkitan.

    Pada Selasa, syarikat itu memperluas pemanggilan pulang kepada semua produk susu formula ByHeart Whole Nutrition, termasuk semua kelompok belum tamat tempoh bagi tin formula dan pek hidangan tunggal.

    CDC dan FDA menggesa ibu bapa serta penjaga supaya segera berhenti menggunakan sebarang produk susu formula jenama ByHeart.

    Menurut CDC, gejala botulisme anak damit lazimnya termasuk sembelit, kesukaran menyusu, hilang kawalan kepala dan kesukaran menelan, yang boleh mengambil masa beberapa minggu untuk muncul selepas pengambilan susu formula tercemar. – Bernama

    Produk formula ByHeart. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda