Assalamualaikum, aku Wani. Aku hendak curhat tentang housemate aku yang pengotor.
Serius, aku sudah tidak tahu nak simpan rasa ni macam mana lagi. Memanglah bukan rumah aku seorang, tapi adab tinggal serumah tu mestilah ada, kan?
Mula-mula aku masuk rumah ni, semuanya nampak okay. Dia pun nampak sopan, cakap lembut, jenis suka senyum.
Aku fikir, Alhamdulillah, dapat housemate yang baik. Tapi makin lama duduk, makin terbuka semua perangai sebenar dia.
Bayangkan, pinggan makan dia boleh biar dalam sinki sampai berhari-hari. Kadang ada sisa lauk basi yang dia tidak buang, siap berkulat. Bila aku tegur baik-baik, dia senyum dan kata nanti dia cuci. Tapi ‘nanti’ tu boleh jadi dua tiga hari, dan akhirnya aku juga yang tidak tahan nak tengok sinki melimpah.

Tandas pun sama. Rambut gugur merata, lantai licin sebab air tidak disapu. Aku bukan cerewet, tapi bila benda kotor sampai tahap buat orang lain rasa geli, itu sudah melampau.
Aku penat jadi tukang bersih. Setiap kali balik kerja, aku nak tenang, bukan sambut bau busuk dari dapur atau nampak tisu bersepah atas meja.
Aku sudah cuba banyak kali sabar. Kadang aku fikir nak keluar dari rumah ni, cari tempat baru. Tapi sewa murah, lokasi pun dekat dengan tempat kerja. Aku tersepit. Nak terus hadap, emosi aku makin terjejas. Nak tegur, takut jadi gaduh pula.
Orang nampak aku tenang, tapi dalam hati aku membuak-buak. Kadang aku menangis senyap-senyap sebab rasa diri ni macam orang gaji tidak bergaji. Aku tak mintak dia sempurna, cuma jagalah kebersihan sikit. Hormatlah orang lain yang tinggal serumah.
Itu sahaja aku nak luah hari ni. Aku harap satu hari nanti, dia sedar yang hidup ini bukan tentang keselesaan sendiri saja. Orang lain pun ada hak nak rasa selesa dan bersih dalam ruang yang sama.
Wani
NASIHAT DANG MP –
Walaikumsalam Wani, Terima kasih kerana menulis kepada Media Permata.
Apa yang Wani rasakan mungkin juga pernah dilalui oleh orang lain. Menerima teman serumah yang tidak sensitif sehingga timbul rasa tertekan, penat, dan kecewa. Apabila rumah yang dikongsi sepatutnya jadi tempat untuk berehat bertukar menjadi sumber stres.
Tinggal serumah sememangnya memerlukan toleransi antara penghuninya. Tetapi toleransi tidak bermakna Wani perlu memendam dan memikul semua tanggungjawab kebersihan seorang diri. Awda sudah pun cuba menegurnya dengan baik, namun bila tiada perubahan, itu menunjukkan kurangnya rasa tanggungjawab olehnya.
Dalam situasi begini, penting untuk awda tetapkan sempadan dengan lebih tegas. Mungkin boleh bincang semula dalam suasana te-nang, bukan hanya tegur perbuatan salahnya, tapi jelaskan kesan tindakannya terhadap emosi kamu. Elakkan nada menyalahkan, dan sebaliknya gunakan pendekatan “saya rasa…” supaya dia lebih mudah menerima teguran.
Jika perbualan terbuka masih tidak membuahkan hasil, pertimbangkan untuk adakan jadual pembersihan bersama atau pembahagian tugas supaya timbul rasa tanggungjawab.
Awda juga boleh melibatkan pihak ketiga seperti pemilik rumah jika ada.
Kesihatan mental Wani lebih penting dari sewa yang murah atau lokasi strategik. Sekiranya situasi terus menekan dan tiada perubahan sikap olehnya, berpindah rumah mungkin idea yang baik.
Wani berhak tinggal di tempat yang damai, bersih, dan tidak menganggu emosi setiap hari.
Jangan biar kebaikan kamu dimanipulasi. Kamu bukan tukang bersih tak bergaji, tetapi kamu adalah manusia yang layak dihormati.