Wednesday, September 18, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penat lelah Hun Haqeem berbaloi

    Pelakon Hun Haqeem tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih sebarang pengiktirafan dalam bidang lakonan.

    Hun membolosi senarai calon Top 20 bagi kategori Aktor TV Popular dan Couple Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-36 yakin pasti tiba masa dirinya diangkat.

    “Bagi saya, sudah tentu ada impian nak meraih anugerah sepanjang karier, namun saya tidak terlalu meletakkan harapan sebab semua ini akan datang bila sudah tiba masa sama ada cepat atau lambat.

    “Saya percaya anugerah akan hadir pada masa saya benar-benar layak menerimanya,” katanya ditemui pada majlis pelancaran pusat latihan seni mempertahankan diri, Elitez Gym kelolaannya dan Andy Teh di Mont Kiara, baru-baru ini.

    Mengulas pencalonannya dalam ABPBH 36, Hun atau nama sebenar, Haqeem Hermy, 26, gembira apabila segala penat lelahnya dalam menjayakan setiap naskhah berbaloi, lapor BH Online.

    Hun percaya trofi anugerah dalam genggamannya pada masa dirinya benar-benar layak menerima. – mStar

    “Saya gembira bila tahu dicalonkan dalam ABPBH 36. Bagi saya, apa yang dibuat tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mereka yang menonton.

    “Tidak tidur malam, kecederaan dan segalanya adalah untuk mereka yang menonton lakonan saya. Saya sangat hargai dan disebabkan itu, saya juga buat yang terbaik dalam lakonan ini.

    “Saya bersyukur kerana naskhah dilakonkan diiktiraf dan ramai orang suka. Saya harap boleh buat lebih baik pada masa akan datang.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong terutama buat peminat saya,” katanya.

    Bagi kategori Couple Drama Popular, Hun dicalonkan bersama Daiyan Trisha menerusi drama adaptasi Korea Selatan, W: Two Worlds dan Mira Filzah menerusi drama Imam Instant Ustazah Scammer. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda