Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penawar alami daripada flora

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kebanyakan masyarakat kita pada hari ini lebih peka terhadap penjagaan kesihatan dengan pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat bagi memastikan tubuh kekal sihat, malahan ramai semakin sedar kesihatan adalah harta paling bermakna dalam hidup dan menjadi tugas kita untuk menghargai serta menjaganya.

    Penjagaan tubuh badan sihat tidak hanya tertumpu kepada senaman semata-mata, kini terdapat pelbagai sumber semula jadi memiliki khasiat atau manfaat kesihatan.

    Ia merangkumi pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan bunga-bungaan, dari alam semula jadi yang pastinya memiliki rahsia kebaikan dan seribu khasiat kesihatan terkandung di dalamnya.

    Penulis ingin membawa pembaca menerokai beberapa jenis bunga-bungaan yang memiliki manfaat alami dipercayai mampu mencegah dan merawat penyakit secara semula jadi, antaranya;

    Bunga Kantan

    Kantan atau lebih dikenali sebagai bunga Kantan adalah dari keluarga halia (zingiberaceae). Ada sesetengah masyarakat menggelarnya sebagai Bunga Siantan.

    Bunga Rosella ini juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan hingga kecantikan.
    Kantan atau lebih dikenali sebagai Bunga Kantan hidup subur di kawasan tropika terutama di Asia Tenggara yang sememangnya mengandungi bahan antioksida iaitu karatinoid yang dapat mengurangkan risiko penyakit kanser selain awet muda. – Gambar Hiasan
    Bukan hanya mengeluarkan warna yang cantik, namun Bunga Telang ini juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan, antaranya mampu meningkatkan daya ingatan serta mengurangkan tekanan.

    Ia merupakan sejenis pokok herba berumpun saka yang hidup subur di kawasan tropika terutama di Asia Tenggara.

    Ia sangat sinonim dengan masakan laksa dan nasi Kerabu sebagai bahan perisa dan penambah rasa kerana bunga kantan mempunyai rasa segar dan agak pedas. Kelopak bunga kantan yang belum berkembang boleh dihiris halus dan dijadikan kerabu atau dijadikan ulam. Ia juga menjadikan makanan lebih menarik kerana warna merah jambunya kekal apabila dimasak.

    Antara kegunaan dan khasiat yang terkandung dalam pokok Kantan ialah ia mengandungi bahan antioksida iaitu karatinoid yang dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit kanser selain ia dapat mengekalkan awet muda. Air rebusan Kantan juga boleh digunakan untuk membasuh luka.

    Bagi pesakit gout, air rebusan tiga kuntum Kantan bersama 4.5 liter air perlu dimasak dan kemudian diminum selama tiga hari berturut turut boleh dijadikan penawar. Dengan izin Allah, ia akan dapat menyembuhkan bengkak di sendi akibat gout. Bagi wanita selepas bersalin pula, air mandian Bunga Kantan dapat menghilangkan bau badan dan juga menyegarkan badan.

    Bunga Telang

    Bukan hanya dijadikan sebagai tanaman hiasan para pencinta bunga-bungaan, bunga Telang yang merupakan salah satu tumbuhan semula jadi yang memiliki keindahan kelopak bunganya berwarna biru muda itu juga sememangnya juga memiliki manfaat untuk kesihatan manusia apabila dijadikan bahan asas dalam masakan seperti bagi hidangan nasi kerabu.

    Bukan hanya mengeluarkan warna yang cantik, namun bunga Telang ini juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan, antaranya mampu meningkatkan daya ingatan serta mengurangkan tekanan.

    Di samping itu, ia juga sebagai antioksidan bagi membantu tubuh seperti meningkatkan kesihatan jantung.

    Bunga Raya

    Manakala salah satu jenis bunga yang memiliki khasiat kesihatan di dalamnya ialah bunga Raya. Selain daripada keindahan semula jadinya, ia juga mempunyai sifat-sifat perawatan yang mana semua bahagian tumbuhan ini dianggap berguna dalam merawat pelbagai jenis penyakit.

    Komponen ubat yang terdapat di dalam bunga Raya adalah Vitamin C dan mineral. Malah, ia dipercayai menyembuhkan penyakit seperti kehilangan rambut dan rambut beruban.

    Oleh yang demikian, cara merawat rambut secara semula jadi demenggunakan bunga Raya ialah dengan mengeringkan bunganya kemudian dijadikan serbuk halus dan dicampurkan dengan air untuk disapu pada kulit kepala.

    Sejak dahulu lagi, Bunga Raya telah digunakan dalam budaya berbeza sebagai ubat untuk merawat pelbagai keadaan. Contohnya, orang Mesir menggunakan teh bunga raya untuk menurunkan suhu tubuh ketika demam dan merawat penyakit saraf dan jantung. Manakala di Afrika, pada bahagian bunga digunakan dalam rawatan penyakit hati dan juga sembelit.

    Di samping itu, tumbuhan ini juga dapat dijadikan sebagai ubat untuk tekanan darah tinggi dan juga mengurangkan tahap kolesterol yang tinggi yang menjadi faktor utama serangan jantung serta membantu mengurangkan berat badan apabila ia dijadikan minuman.

    Bunga Rosella

    Selain itu, bunga Rosella, si cantik merah menawan, bukan hanya memiliki keindahan untuk menghias persekitaran halaman kediaman atau tanaman bahkan ia menyimpan pelbagai manfaat untuk kesihatan bagi mereka yang mengamalkannya.

    Pohon bunga Rosella tumbuh dari biji atau benih dengan ketinggian yang boleh mencapai antara tiga hingga lima meter serta mengeluarkan bunga hampir sepanjang tahun. Rosella yang nama latinnya Hisbiscus sabdariffa L dikatakan tumbuhan yang berasal dari benua Afrika.

    Pada umumnya kelopak bunga Rosella sering dijadikan minuman dengan rasa masam menghasilkan rasa segar sehingga sangat sesuai dijadikan variasi olahan yang lain seperti jem dan juga serbuk teh.

    Bunga yang berwarna merah gelap dan tebal itu ini juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan hingga kecantikan, antaranya mampu mengimbangi kadar gula dalam darah, sakit urat dan kolesterol. Ia juga mampu mengatasi batuk dan sakit tekak serta mencegah penyakit kanser. Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan berat badan dan juga meningkatkan metabolisme tubuh badan serta mengawetkan kulit.

    Oleh yang demikian, bunga-bunga bukan hanya memiliki nilai keindahannya, namun ia juga memiliki khasiat yang sangat baik untuk kesihatan.

    Memang tidak semua jenis bunga berkhasiat apabila dimakan, namun sebahagiannya dapat menambah warna dan rasa ke dalam hidangan-hidangan tertentu sehingga mewujudkan keistimewaan yang tersendiri, lebih-lebih lagi memiliki kandungan nutrisi sehingga dapat meningkatkan kesihatan tubuh badan apabila diamalkan dengan cara yang betul.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda