Friday, December 20, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pencairan ais laut Antartika penyebab ribut’

    PARIS, 19 DIS – Perpecahan ais Antartika yang terbesar pada 2023 telah membawa kepada ribut yang lebih kerap di bahagian yang baharu terdedah di Lautan Selatan, menurut satu kajian yang diterbitkan kelmarin.

    Para saintis tahu kehilangan ais laut Antartika boleh mengurangkan bilangan penguin, menyebabkan rak ais cair di perairan yang lebih panas dan menghalang Lautan Selatan daripada menyerap karbon dioksida.

    Tetapi penyelidikan baharu ini, diterbitkan dalam jurnal Nature yang disemak rakan sekerja, telah menemui akibat lain iaitu peningkatan kehilangan haba dari lautan ke atmosfera, dan peningkatan yang berkaitan dengan ribut.

    Sejak 2016 telah berlaku pengurangan ais laut Antartika secara besar-besaran, tetapi tidak seperti 2023 apabila jumlah rekod itu gagal diperbaharui sepanjang musim sejuk.

    Bagi kajian itu, Simon Josey dari Pusat Oseanografi Kebangsaan United Kingdom dan rakan sekerja memfokuskan pada tiga buah wilayah yang mengalami tahap pengunduran ais laut yang luar biasa tinggi pada tahun itu.

    Menerusi penggunaan gambar satelit, data lautan dan atmosfera serta pengukuran angin serta suhu, mereka mendapati beberapa buah kawasan yang baharu bebas ais mengalami kehilangan haba dua kali ganda berbanding tempoh yang lebih stabil sebelum 2015.

    “Ini disertai dengan peningkatan kekerapan ribut atmosfera di kawasan yang sebelumnya dilitupi ais.

    “Di kawasan penurunan ais laut, kekerapan ribut Jun hingga Julai telah meningkat sehingga 7 hari sebulan pada 2023 berbanding 1990 hingga 2015,” kata kajian itu lagi. – AFP

    Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda