GENEVA, 21 MAC – Penyusutan glasier yang semakin ketara akan memberi kesan besar kepada kehidupan di bumi, lapor agensi berita Jerman (dpa), memetik kenyataan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).
Amaran itu dikeluarkan sempena sambutan Hari Glasier Sedunia hari ini, menekankan ancaman terhadap bekalan air tawar penting yang diperlukan oleh berjuta-juta orang untuk minuman, pertanian dan industri.
Dalam tempoh 48 tahun sejak 1976, glasier di seluruh dunia telah kehilangan hampir 9,200 gigaton ais, menurut Perkhidmatan Pemantauan Glasier Sedunia (WGMS) di Universiti Zurich.
Satu gigaton bersamaan dengan satu bilion tan.
WMO turut melaporkan bahawa pencairan glasier sejak 2000 telah menyumbang kepada peningkatan paras laut sebanyak 18 milimeter.
Pengarah WGMS, Michael Zemp menjelaskan bahawa bagi setiap 1 milimeter peningkatan paras laut, sekitar 200,000 hingga 300,000 orang berdepan peningkatan risiko banjir.
Glasier, bersama-sama dengan lapisan ais Antartika dan Greenland menyimpan 70 peratus sumber air tawar dunia.
“Pemeliharaan glasier bukan sekadar keperluan alam sekitar, ekonomi dan sosial. Ia adalah soal kelangsungan hidup,” kata Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo.
WMO memaklumkan penyusutan glasier, yang sebelum ini terhad kepada kawasan tertentu kini telah berlaku di semua 19 wilayah glasier di seluruh dunia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Glasier mengalami penyusutan lebih drastik dalam tempoh itu berbanding mana-mana tempoh tiga tahun lain sejak rekod bermula pada 1970an. – Bernama
