Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencapaian cemerlang 12 anak yatim diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 12 pelajar anak yatim diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (AIPC-DANA 2025) yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Majlis berkenaan diadakan bagi menghargai pencapaian cemerlang para pelajar dalam peperiksaan awam tahun 2024, serta memberi dorongan kepada anak-anak yatim untuk terus berusaha meraih kejayaan, khususnya dalam bidang pelajaran.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah ialah Menteri Pendidikan,Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA.

    AIPC-DANA merupakan projek tahunan Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim dan tahun ini menandakan kali ke-18 penganjurannya.

    Penerima AIPC-DANA 2025 bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level adalah tiga pelajar iaitu Awang Muhammad Adam Syafiee bin Junaidi, Dayang Siti Nurmaziah Khalisah binti Haji Mayadi dan Awang Wafiq Syahmi bin Hasme yang mana setiap satunya menerima sijil penghargaan, sebuah komputer berserta mesin pencetak serta pakej kemudahan belajar selama dua tahun berupa wang tunai berjumlah $760.

    Untuk Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) pula, penerima adalah lima pelajar mereka iaitu Awang Mohammad Qahir Saaduddin bin Abdul Quddus, Dayang Siti Omirah Etikah binti Haji Kalong, Dayang Nur Ameeratul ‘Atiqah binti Abdullah, Dayangku Nur’ain Alisa Zafeerah binti Pengiran Haji Mohammad Sofian dan Awang Muhammad Aiman Marwan bin Abdullah @ Munir Azwan yang mana setiap satunya menerima sijil penghargaan, sebuah komputer berserta mesin pencetak dan pakej kemudahan belajar selama dua tahun berupa wang tunai berjumlah $400.

    Sementara bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama Darjah 6 (SSSRU), penerima adalah empat pelajar iaitu Dayang Bazilah Izzati binti Haji Razali, Awang Muhammad Waqiuddin Asyraaf bin Muhammad Nor Arif, Dayang Nur Qaleesya Umayyrah @Dania binti Abdullah Mohammad Azlan dan Awang Mohammad Yazid Khairan Nafil bin Abdullah dengan setiap satunya menerima sijil penghargaan, sebuah komputer berserta mesin pencetak dan wang simpanan berjumlah $500 yang dikreditkan terus ke Akaun DANA masing-masing di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).

    Hadir sama menyaksikan majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Semua di atas: Antara penerima-penerima yang diraikan dalam majlis berkenaan.

    Sesi bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda