Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencapaian di Hangzhou bagi bayangan emas untuk Sukan Paralimpik Paris

    HANGZHOU, 29 OKT – Atlet Malaysia di Sukan Para Asia 2022 Hangzhou sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila terus mengekalkan rentak cemerlang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

    Selepas memperoleh kejayaan mengagumkan di Sukan Para Asean 2023 di Kemboja, Jun lepas, mereka tampil menyinar di bumi Hangzhou apabila mudah melepasi sasaran 35 pingat ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

    Membariskan seramai 113 atlet dengan hampir separuh daripadanya membuat penampilan sulung di pentas berprestij itu, langsung tidak menyekat usaha untuk mengaut tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa, bagi menduduki tangga ke-12 carta pingat.

    Kem berbasikal muncul sebagai penyumbang pingat terbanyak iaitu satu pingat emas, enam perak dan empat gangsa diikuti sukan olahraga dengan tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

    Sukan renang tidak kurang hebatnya apabila berjaya menyumbangkan satu emas selain empat gangsa diikuti badminton dengan dua perak dua gangsa, boling padang (dua perak, dua gangsa), boccia (satu emas, dua perak), powerlifting (satu emas, satu gangsa) dan tenis kerusi roda menyumbang satu perak.

    Gambar Bernama

    Kontinjen Malaysia turut membuktikan pengembaraan mereka ke bumi Hangzhou bukan sekadar ‘makan angin’ apabila mencatatkan beberapa rekod baharu kejohanan antaranya membabitkan sukan olahraga dan powerlifting.

    Permata baharu olahraga para, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi mencuri tumpuan apabila bukan sekadar pulang bersama kilauan emas malah memperbaharui rekod Asia dan temasya.

    Catatan 47.60 saat (s) dilakukan atlet kelahiran Pontian, Johor itu sekali gus memecahkan rekod Sukan Para Asia milik rakan senegaranya, Nasharudin Mohd (49.32s), selain rekod Asia yang dipegang atlet Iran, Milad Ramazani (47.80s)

    Jaguh powerlifting Malaysia, Bonnie Bunyau Gustin tidak ketinggalan menyandang gelaran juara bagi acara 72 kilogram (kg) dengan melakukan angkatan 230kg yang juga rekod baharu temasya, memadam rekod 229kg dilakukan atlet Iran, Roohallah Rostami.

    Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata ‘jelmaan emas’ sudah kelihatan untuk Sukan Paralimpik Paris 2024 melibatkan atlet yang telah menempah slot pada temasya tersebut, khususnya mereka yang menepati sasaran emas di Hangzhou. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda