Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Program Menyokong Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Masa Depan yang Berwawasan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD ALAF) berbesar hati untuk meraikan pencapaian luar biasa Lai Fook Looeng, yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Farmasi (MPharm) dari Universiti Nottingham, United Kingdom.
Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh BIBD, hari ini, pencapaian penting berkenaan bukan sahaja menandakan pencapaian peribadi untuk Lai Fook Looeng, tetapi juga menonjolkan peranan berkesan BIBD ALAF dalam memupuk kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar kurang bernasib baik di Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun 2020, Lai Fook Looeng telah dinamakan sebagai BIBD ALAF Scholar dan menerima pendidikan universiti yang dibiayai sepenuhnya melalui program BIBD ALAF.
Lulus dengan klasifikasi Second Class Division One (2:1), Lai Fook Looeng kini memegang Ijazah Sarjana Bersepadu dalam Farmasi.
Minat yang mendalam khususnya dalam aspek ubat kardiovaskular akan diteruskan semasa latihan asas beliau di Hospital Torbay di United Kingdom, bermula pada 2024.

Lai Fook Looeng merakamkan penghargaan kepada BIBD ALAF kerana memberi peluang kepada beliau untuk merealisasikan impiannya.
“Saya kini memperoleh lesen farmasi dan berharap untuk memohon dan mengembangkan pengetahuan semasa saya bagi meningkatkan penjagaan pesakit,” ujarnya apabila berbicara mengenai rancangan masa depannya.
Lai Fook Looeng, 24 tahun, menyertai program BIBD ALAF pada tahun 2015 sebagai sebahagian daripada Batch 2.
Walaupun menghadapi keadaan tempat tinggal yang yang mencabar, termasuk kekurangan bekalan air dan pergantungan kepada penjana untuk bekalan elektrik, namun dedikasi insan tersebut yang tidak berbelah bahagi dalam bidang pembelajarannya secara konsisten selama ini telah menyaksikan kecemerlangan.
Perjalanan akademik Lai Fook Looeng adalah bukti ketabahan beliau dan sokongan padu yang diberikan oleh BIBD ALAF. Mencapai prestasi akademik 85 peratus cemerlang sepanjang 10 tahun, Lai Fook Looeng telah memperoleh BIBD ALAF STAR Award setiap tahun.
Dalam kenyataan berkenaan turut menekankan pendidikan telah terbukti sebagai alat yang berkuasa untuk mengubah kehidupan, seperti yang dibuktikan oleh pencapaian Lai Fook Looeng.
Pencapaian berkenaan menyerlahkan kepentingan menyediakan peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat dan mencerminkan komitmen BIBD bagi menyokong wawasan 2035 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, khususnya Matlamat 4 iaitu Pendidikan Berkualiti.
Perjalanan Lai Fook Looeng menunjukkan bagaimana keazaman, digabungkan dengan sokongan yang betul sehingga membawanya kepada hasil yang luar biasa.
Program BIBD ALAF, yang baru-baru ini meraikan ulang tahunnya yang ke-10 pada 2023, merupakan bahagian penting sumbangan BIBD kepada wawasan 2035.
Dengan memperkasakan golongan pelajar seperti Lai Fook Looeng, BIBD ALAF bukan sahaja menyediakan bantuan pendidikan tetapi juga memupuk generasi belia Brunei yang kompeten dan mampan, dibayangkan untuk memimpin negara ke arah matlamat yang bercita-cita tinggi.
BIBD ALAF membolehkan pelajar dari latar belakang yang kurang berkemampuan mengubah kehidupan mereka melalui kuasa pendidikan, yakin dengan sokongan padu BIBD ALAF dalam usaha pendidikan mereka.
Pada masa ini, terdapat 52 orang pelajar BIBD ALAF melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, dengan 18 pelajar di institusi tempatan seperti Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, dan Politeknik Brunei.
Selain itu, terdapat pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, termasuk institusi seperti Universiti Monash di Australia dan Universiti Islam Antarabangsa di Malaysia.
Perjalanan Lai Fook Looeng daripada permulaan yang sederhana kepada kecemerlangan akademik melambangkan kuasa transformatif pendidikan dan sokongan komuniti, yang mendasari komitmen berterusan BIBD terhadap program BIBD ALAF.
Sebagai yang pertama dalam keluarganya untuk lepasan universiti, diharap kisah kejayaan beliau dapat menjadi inspirasi kepada ramai yang lain.
BIBD kekal komited untuk memperkasakan komuniti dan menyumbang kepada pembangunan pemimpin masa depan Brunei.
BIBD percaya bahawa pelaburan dalam golongan pelajar yang berpotensi tinggi ini akan membawa manfaat kepada negara pada masa hadapan. Ianya adalah komitmen BIBD untuk memberi kembali.
Melalui inisiatif seperti BIBD ALAF, bank terus menjadi rakan kongsi yang dipercayai dalam menyokong inisiatif kerajaan dan mempromosikan pendidikan sepanjang hayat.

