Thursday, March 6, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencapaian literasi, numerasi peringkat rendah meningkat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Pencapaian literasi dan numerasi pelajar di peringkat rendah adalah meningkat dari tahun ke tahun dan peningkatan ini juga dapat dilihat dalam keputusan PISA 2022. PISA merupakan ujian penilaian antarabangsa yang ditujukan kepada pelajar berumur 15 tahun.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh semasa menjawap soalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Safiah binti Haji Sheikh Haji Abdul Salam mengenai kenapa pencapaian menengah O level tidak dapat diterjemahkan sejajar dengan pencapaian cemerlang di sekolah rendah semasa Persidangan MMN.

    Yang Berhormat Datin turut mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam telah ikut serta dalam PISA mulai tahun 2018. Tetapi sebelum itu, pada tahun 2016, seramai 2,616 orang pelajar telah menduduki ujian PISA – Based Test for Schools sebagai persediaan awal bagi negara menduduki PISA 2018.

    “Analisa daripada ujian ini telah memberikan satu gambaran mengenai tahap pencapaian pelajar kita. Alhamdulillah, pencapaian pelajar telah meningkat dalam PISA 2018 berbanding 2016, dan oleh kerana PISA 2018 adalah pertama kali Negara Brunei Darussalam mengikuti PISA, data tersebut telah menjadi satu penanda aras.

    “PISA 2022 telah menyaksikan sekali lagi pencapaian pelajar meningkat dengan ketara dan signifikan berbanding PISA 2018, dengan peningkatan sebanyak 12 skor dalam matematik, 21 skor dalam membaca dan 15 skor dalam Sains. Namun, walaupun pencapaian sudah meningkat, pencapaian pelajar kita masih lagi di bawah purata negara-negara OECD.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menjawap soalan yang diajukan oleh ahli MMN. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Ertinya kita bermula pada paras rendah,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
    Sementara itu, Kementerian Pendidikan telah membuat beberapa kajian, termasuklah membuat satu taburan mengenai pencapaian pelajar dalam PISA 2022 dan peratus pelajar yang mendapat kredit dalam domain berkaitan. Hasil kajian menunjukkan korelasi antara pencapaian sekolah dalam PISA dan O level adalah sangat lemah.

    Ini bermaksud seolah-olah sekolah yang berpencapaian tinggi di PISA tidak semestinya akan memperoleh peratus pelajar yang ramai mendapat kredit dalam mata pelajaran tersebut. Walau bagaimanapun, data tersebut merupakan data sekolah dan bukannya data individu pelajar. Ia menjadikan cabaran kepada kajian ini. Secara logik, pencapaian pelajar sepatutnya adalah seimbang dalam mana-mana jua penilaian sepertinya jua PISA dan O level.

    Peperiksaan O level menilai prestasi pelajar tetapi penilaian PISA dapat membantu menilai sistem pendidikan dengan adanya tambahan soal kaji selidik bagi pelajar, sekolah, guru-guru dan ibu bapa. Walau bagaimanapun kajian ini masih belum kukuh. Ini adalah kerana pencapaian pelajar masih belum menghampiri purata OECD.

    “Oleh yang demikian, kita mesti merapatkan jurang pencapaian pelajar terlebih dahulu, sekurang-kurangnya ke tahap purata OECD, barulah kita akan dapat meningkatkan peratus pelajar kita berjaya dalam peperiksaan O level,” ujar Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

    Beliau juga berkata beberapa usaha yang sedang dan akan dibuat oleh Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan lagi pencapaian pelajar, antaranya adalah Jabatan Perkembangan Kurikulum sedang dalam proses menyemak semula kurikulum dan membangunkan piawaian (standard) bagi mata pelajaran teras (Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Bahasa Melayu, dan MIB) termasuk literasi digital.

    Usaha ini bertujuan bagi memastikan kurikulum yang berkualiti, selaras dengan perkembangan global, serta relevan dengan keperluan negara dan piawaian antarabangsa; Jabatan Peperiksaan juga turut memperkukuh kualiti penilaian pelajar dengan mengadaptasi pendekatan penilaian berasaskan kompetensi dan penilaian berasaskan kandungan.

    Langkah ini bertujuan untuk menilai tahap penguasaan pelajar secara lebih holistik, khususnya dalam bidang literasi dan numerasi, di samping mengukur kecekapan kemahiran-kemahiran abad ke-21 dan banyak lagi.

    Ke arah memastikan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti, kemahiran guru akan terus dipertingkatkan melalui pelaksanaan program-program pembangunan profesional yang berterusan, Kementerian Pendidikan akan sentiasa komited dan meningkatkan usaha untuk memperkukuh sistem pendidikan negara demi memastikan peningkatan berterusan dalam pencapaian pelajar.

    Seiring dengan itu, kerjasama padu daripada semua pihak, termasuk sektor swasta, ibu bapa, dan masyarakat, amatlah diharapkan untuk bersama-sama mencapai matlamat ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda