Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencapaian pelajar SUAMPRIPAHS dihargai

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Lebih 200 orang pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) telah diraikan pada Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang sesi 1439H/2017M yang diadakan di dewan serba guna sekolah berkenaan, hari ini.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Pengetua SUAMPRIPAHS, Hajah Rusidah binti Haji Talip dalam ucapannya menjelaskan, majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk memberikan penghargaan serta pengiktirafan dan seterusnya meraikan kejayaan pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum dan juga sahsiah.

    Selain itu, majlis ini juga berfungsi sebagai pencetus motivasi buat pelajar-pelajar lain dan pemangkin kepada peningkatan pencapaian yang lebih cemerlang.

    Menurutnya lagi, segala kejayaan yang dicapai adalah hasil kerja keras para pelajar serta guru dengan usaha gigih dan keazaman yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan pada hari ini dan pada masa hadapan.

    Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim semasa menyampaikan sijil dan hadiah kepada salah seorang pelajar.
    Antara ibu bapa yang hadir di majlis berkenaan.

    “Sesungguhnya, kegigihan, keazaman dan disiplin diri adalah formula kejayaan bagi setiap pelajar yang inginkan kejayaan bagi menempuh cabaran yang mendatang. Cabaran hidup pada zaman era teknologi memang tidak dapat dihindarkan. Namun ia tetap bergantung kepada pilihan individu itu sendiri. Justeru para pelajar juga perlu bijak menangani penggunaan media-media sosial melalui aplikasi-aplikasi seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya,” ujarnya.

    Beliau berharap, para pelajar akan dapat menjaga nama baik mereka walau di mana pun mereka berada dan terus mendukung visi dan misi sekolah iaitu untuk melahirkan generasi yang bertakwa dan cemerlang duniawi dan ukhrawi.

    Untuk menuju ke arah kejayaan secara holistik, tambah beliau, setentunya memerlukan kerjasama semua pihak secara bersepadu supaya sama-sama menggalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak terus cemerlang dalam pelbagai aspek.

    Sehubungan itu, ibu bapa perlu terus peka untuk memantau kegiatan yang dilakukan oleh anak-anak mereka dengan etika termasuklah kegiatan yang dilakukan menggunakan media sosial bagi mengelakkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan pengaruh negatif atau merosakkan pemikiran mereka, ujar beliau lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda