BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Jabatan Penerangan menerusi Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik telah mengadakan majlis pembukaan bagi Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) di Galeri Lentera Makmur, Jabatan Penerangan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, program tersebut disertai oleh seramai 33 peserta yang terdiri daripada pencari pekerjaan yang berdaftar dengan Pusat Pekerjaan Brunei dan mahasiswa/mahasiswi yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim selaku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Haji Mahmud Hafidzie bin Haji Awang Ali Mashod dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar dalam ucapannya antara lain menyentuh mengenai PMB salah satu inisiatif jabatan memberikan peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu pengetahuan dengan lebih lanjut, mengikut keperluan semasa dan isu yang relevan dengan keperluan pembangunan negara pada masa ini dan yang akan datang.
Tema PMB kali ini, untuk julung-julung kalinya menekankan mengenai pembangunan kemahiran dan kapasiti dalam menerokai peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Selain itu, temanya juga menekankan kepentingan untuk tidak mengenal lelah dalam meningkatkan kapasiti dan kemahiran diri demi bersaing dengan lebih positif dalam dunia kerjaya dan keusahawanan.
Di samping itu, untuk menyuntik semangat dan memberi inspirasi anggota masyarakat dalam usaha-usaha meningkatkan pendedahan kepada aktiviti-aktiviti peningkatan kapasiti dan pengetahuan, program ini telah disusun atur dengan beberapa sesi taklimat dan lawatan ke agensi-agensi kerajaan yang terpilih.



