MOSCOW, 1 APRIL – Pekerja kecemasan Rusia hari ini menamatkan operasi menyelamat di sebuah lombong di Timur Jauh negara itu di mana 13 orang pekerja dipercayai maut selepas kemalangan dua minggu lalu, lapor media kerajaan.
Tanah runtuh pada 18 Mac di lombong emas Pioneer di wilayah Amur Rusia berhampiran sempadan China menyebabkan pelombong terperangkap lebih 120 meter di bawah tanah.
Operasi pencarian awal menunjukkan beberapa buah gua tempat mereka berteduh ditenggelami air, menimbulkan kebimbangan bahawa 13 orang telah terbunuh dalam tanah runtuh.
“Pada 1 April, keputusan telah dibuat untuk menamatkan operasi menyelamat di lombong Pioneer,” kata pengendali Pokrovsky Mine dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Interfax.
“Hasil penggerudian menunjukkan kawasan di tempat pelombong berada dipenuhi dengan serpihan batu dan air. Nyawa penyelamat dan pekerja lombong yang terlibat dalam operasi itu berisiko tinggi,” katanya kerana kemungkinan berlaku lagi keruntuhan, tambahnya.
Lombong emas adalah salah satu yang terbesar di dunia dan salah satu yang paling produktif di Rusia.
Pegawai di Amur telah membuka siasatan kerana disyaki melanggar peraturan keselamatan. Pengarah urusan itu telah ditahan minggu lalu, kata cawangan serantau Jawatankuasa Siasatan Rusia, yang menyiasat jenayah besar. – AFP
