Wednesday, January 8, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencarian mangsa tanah runtuh Etiopia diteruskan

    ADDIS ABABA, 24 JULAI – Anggota penyelamat yang dibantu oleh dron hari ini meneruskan usaha mencari mangsa yang terselamat daripada tanah runtuh di kawasan terpencil di selatan Ethiopia yang telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 229 orang.

    Agensi-agensi kemanusiaan juga bergegas untuk menghantar bantuan kecemasan segera kepada komuniti yang terjejas setelah kejadian paling teruk direkodkan di Etiopia, sebuah negara yang amat terdedah kepada bencana berkaitan iklim.

    Penduduk tempatan telah menggunakan penyodok dan tangan mereka untuk menggali timbunan lumpur untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam tragedi yang berlaku pada Isnin di Kencho, kawasan yang sukar diakses dan terletak ratusan kilometer dari ibu negara Etiopia, Addis Ababa.

    Setakat ini, 148 orang lelaki dan 81 orang wanita disahkan maut selepas bencana itu berlaku di kawasan pergunungan terpencil, menurut Jabatan Hal Ehwal Komunikasi Zon Gofa yang meliputi kawasan Kencho, kelmarin.

    “Usaha mencari mangsa yang terselamat sedang diteruskan dan kini disokong oleh dron yang dikendalikan oleh pakar dari Pentadbiran Keselamatan Rangkaian Maklumat (INSA),” beritahu pengarah amaran awal di Suruhanjaya Pengurusan Risiko Bencana Ethiopia (EDRMC), Firaol Bekele, kepada AFP, hari ini.

    “Kerajaan sedang menangani keperluan mendesak untuk makanan, air, ubat-ubatan dan tempat tinggal,” katanya.

    Pegawai berkata kebanyakan mangsa tertimbus selepas mereka bergegas membantu penduduk lain yang dilanda tanah runtuh yang pertama berikutan hujan lebat pada Ahad.

    Perbadanan Penyiaran Etiopia milik kerajaan kelmarin telah melaporkan bahawa lima orang telah ditarik keluar hidup-hidup dari lumpur dan sedang menerima rawatan di kemudahan perubatan.

    Agensi tindak balas kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, OCHA berkata lebih 14,000 orang telah terjejas di kawasan yang sukar diakses itu, iaitu kira-kira 450 kilometer dari ibu negara Addis Ababa, perjalanan mengambil masa 10 jam. – AFP

    Seorang lelaki mencari mangsa yang terselamat di tapak tanah runtuh di daerah Kencho Shacha Gozdi, Zon Gofa, selatan Etiopia, pada 22 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda