LONDON, 8 SEPT – Polis Britain sedang melakukan siasatan meluas di sebuah taman besar di London hari ini dalam usaha mencari seorang bekas tentera yang berjaya melarikan diri dari penjara semasa menunggu perbicaraan atas tuduhan keganasan.
Polis Metropolitan mengesahkan bahawa operasi mencari di Richmond Park, di bahagian barat daya bandar itu, yang melibatkan dua helikopter dan pasukan polis di darat, adalah berkaitan dengan usaha memburu Daniel Abed Khalife.
Lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan berjaya melarikan diri dari Penjara Wandsworth pada Rabu lalu ketika bekerja di dapur dan dengan cara yang licik, berpaut pada bahagian bawah trak penghantaran makanan, menurut keterangan polis.
Khalife dituduh meletakkan bom palsu di pangkalan tentera dan juga melanggar Akta Rahsia Rasmi Britain dengan mengumpul maklumat yang ‘boleh berguna kepada musuh.’
Dia telah diberhentikan daripada perkhidmatan tentera Britain selepas ditangkap awal tahun ini dan telah menafikan semua tuduhan tersebut. Perbicaraannya ditetapkan pada bulan November.
Pemburuan Khalife itu telah menyebabkan peningkatan pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang dan juga di Pelabuhan Dover, iaitu laluan utama perahu dari England ke Perancis. Namun, aktiviti siasatan utama tertumpu di Richmond Park, sebuah kawasan seluas 2,500 ekar yang terdiri daripada hutan dan padang rumput, yang terletak kira-kira 8 kilometer dari Penjara Wandsworth.
Ahli politik pembangkang menuntut untuk mengetahui bagaimana Khalife berjaya melarikan diri dari penjara keselamatan sederhana dan mengapa dia tidak ditahan di kemudahan keselamatan maksimum. Kerajaan Konservatif telah mengumumkan bahawa satu siasatan bebas akan dijalankan.
Komander antikeganasan Polis Metropolitan, Dominic Murphy berkata tidak ada kemunculan Khalife yang disahkan sejak melarikan diri dan menyifatkan banduan itu sebagai ‘sangat bijak.’ – AP
