SYDNEY, 25 FEB – Hampir 11 tahun selepas kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih menjadi misteri, usaha pencarian baharu diteruskan di Lautan Hindi, agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan media hari ini.
Dalam beberapa minggu akan datang, syarikat teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat dan United Kingdom, Ocean Infinity akan mengerahkan kapal pencarian Armada 78 06 serta autonomous underwater vehicles (AUV) untuk mengimbas dasar laut bagi mencari sebarang kesan pesawat Boeing 777 yang hilang itu, menurut laporan beberapa media termasuk penyiar Australia 9 News dan akhbar British The Telegraph.
Pencarian akan bertumpu di kawasan seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi, dengan tumpuan khusus pada empat lokasi utama yang dikenal pasti sebagai kawasan paling berpotensi – terletak sekitar 1,500 kilometer dari pesisir Perth, Australia.
Syarikat itu, yang pernah terlibat dalam misi pencarian pada 2018 namun tidak berjaya, telah menandatangani kontrak ‘no find, no fee’ dengan kerajaan Malaysia, lapor 9 News. – Bernama
