Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pencemaran akibatkan 9 juta kematian setahun

    PARIS, 18 MEI – Pencemaran telah mengakibatkan kira-kira 9 juta orang mati lebih awal pada 2019, menurut laporan global baharu yang disiarkan hari ini, dengan pakar memberikan amaran mengenai kematian yang meningkat akibat pencemaran udara dan jumlah keracunan plumbum yang ‘membimbangkan.’

    Sisa buangan oleh manusia di udara, air dan tanah jarang membunuh orang dengan serta-merta, sebaliknya mengakibatkan penyakit jantung, kanser, masalah pernafasan, cirit-birit dan penyakit serius lain.

    Suruhanjaya Lancet mengenai pencemaran dan kesihatan berkata kesan pencemaran ke atas kesihatan global masih ‘jauh lebih besar berbanding peperangan, keganasan, malaria, HIV, tuberkulosis, dadah dan alkohol’.

    Pencemaran adalah ‘ancaman amat besar kepada kesihatan manusia dan kesihatan planet, dan ia menjejaskan kelangsungan hidup dan kemapanan masyarakat moden,’ tambahnya.

    Secara umumnya, kajian mendapati pencemaran udara, menyumbang kepada 6.7 juta kematian di dunia pada 2019, adalah saling berkaitan dengan perubahan iklim disebabkan punca utama kedua-dua masalah adalah pembakaran bahan api fosil dan bahan api bio.

    “Jika kami gagal menguruskan sisa buangan dalam cara bersih dan hijau, kami melakukan kesilapan besar,” kata ketua pengarang laporan Richard Fuller, daripada Perikatan Kesihatan dan Pencemaran Global, menambah kata pencemaran bahan kimia juga menjejaskan biodiversiti, satu lagi ancaman utama global.

    “Masalah berkenaan saling berkaitan dan strategi untuk mengatasinya mempunyai kesan domino,” katanya.

    Pada keseluruhannya, satu dalam enam kematian pramasa di seluruh dunia – atau sembilan juta – adalah disebabkan pencemaran, angka yang tidak berubah sejak penilaian terakhir dibuat pada 2015.

    Namun, kematian pramasa yang dikaitkan dengan perindustrian – pencemaran udara dan kimia – semakin meningkat, terutamanya di negara selatan dan timur Asia. – AFP

    Gambar fail menunjukkan asap kelihatan naik daripada kilang pemprosesan arang batu di Hejin, tengah wilayah Shanxi. China. Satu kajian menyalahkan pencemaran ke atas 9 juta kematian setahun di dunia. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...